SJMC perkenal pemantauan pesakit jarak jauh menerusi Connected Care

13 Jul 2023 • 10:53 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SJMC perkenal pemantauan pesakit jarak jauh menerusi Connected Care

zulfadli

13/07/2023 - 10:53

KUALA LUMPUR 13 Julai - Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) memperkenalkan 'Connected Care', ekosistem penjagaan pesakit jarak jauh yang mengubah penyediaan penjagaan kesihatan dengan perkhidmatan lancar terus ke rumah pesakit.

Perkhidmatan yang pertama seumpamanya di Malaysia ini merupakan rumusan inovatif yang memberi penekanan kepada hubungan dan pemantauan jarak jauh oleh profesional penjagaan kesihatan yang dipercayai.

SJMC turut menjalin kerjasama dengan Malaysian Research Accelerator for Technology & Innovation (MRANTI) dan menyertai Hab HealthTech MRANTI, suatu inisiatif oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Kesihatan (KKM), untuk memacu kemajuan dalam teknologi penjagaan kesihatan serta memupuk inovasi transformatif dalam penjagaan pesakit.

Ketua Pegawai Eksekutif SJMC, Bryan Lin berkata, pihaknya mahu mengalihkan tumpuan daripada pesakit kepada individu, daripada penjagaan kesihatan kepada kesihatan yang menyeluruh, dan dari hospital ke rumah.

"Menerusi pelancaran Connected Care, kami merevolusikan kaedah penyampaian penjagaan kesihatan, sekali gus memperkasakan pesakit menerusi akses kepada penjagaan profesional dengan harga berpatutan di keselesaan kediaman mereka sendiri.

"Penyertaan kami dalam Hab HealthTech MRANTI terus mengukuhkan komitmen kami untuk menjalin kerjasama dalam usaha membawakan impak lebih besar, memacu perkembangan dalam teknologi penjagaan kesihatan serta memupuk inovasi transformatif bagi merangsang industri di masa hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini.

Ekosistem yang inovatif ini diperluaskan susulan perkhidmatan sedia ada SJMC iaitu 'HomeConnect' dan 'TeleConnect'.

image is not available
(Dari kiri) CEO Kumpulan Ramsay Sime Darby Health Care Sdn Bhd (RSDH), Peter Hong; Ketua Pegawai Komersial MRANTI, Khairil Anuar Sadat Salleh, Bryan Lin dan pemangku CEO Majlis Perjalanan Penjagaan Kesihatan Malaysia, Farizal B Jaafar ketika melancarkan inisiatif Connected Care di SJMC, Subang Jaya, Selangor pada 12 Julai 2023.

Ia merangkumi enam bidang penjagaan dengan perkhidmatan terkini, 'SeniorConnect'. Perkhidmatan ini khusus untuk memenuhi keperluan pesakit warga emas berusia 65 tahun dan ke atas yang mungkin tinggal berjauhan daripada orang tersayang, dengan sokongan penjaga.

Dalam pada itu, program Hab HealthTech MRANTI menawarkan inovator teknologi kesihatan, penyedia teknologi dan pemain ekosistem akses kepada 'sandbox', program dan perkhidmatan yang mempercepatkan pengkomersilan produk dan penyelesaian teknologi kesihatan.

Menerusi kerjasama ini, SJMC dan Hab Healthtech MRANTI akan bergabung sebagai rakan kongsi sandbox, untuk menyediakan platform untuk syarikat teknologi menguji dan mengesahkan produk mereka.

Usaha ini menyediakan peluang yang tidak ternilai kepada syarikat berkenaan untuk mengetengahkan rumusan mereka dan sekiranya produk mereka seiring dengan keperluan SJMC, terdapat potensi melaksanakan teknologi berkenaan di SJMC.

Ketua Pegawai Eksekutif MRANTI, Dzuleira Abu Bakar pula berkata, mereka berhasrat untuk menilai prestasi teknologi ini dalam persekitaraan penjagaan kesihatan yang sebenar dan memastikan hasil terbaik untuk pesakit.

"Kerjasama ini akan menyediakan nilai bukan sahaja kepada Hab HealthTech MRANTI tetapi juga kepada Kluster Integrasi Penjagaan Kesihatan (IHC) yang kami bangunkan menerusi kerjasama awam-swasta.

"IHC bakal menjadi pusat sehenti yang mempercepatkan pengkomersialan penyelidikan dan pembangunan (R&D) tempatan dan penggunaan teknologi dalam penjagaan kesihatan dan ubat-ubatan," katanya. - DagangNews.com