SK Nexilis lancar Pinjaman Hijau bagi pembinaan kilang RM2.3 bilion di Sabah
herman
13/02/2024 - 14:55
KUALA LUMPUR 13 Feb - Pengeluar kerajang tembaga terbesar dunia, SK Nexilis Co. Ltd telah mengumumkan pelancaran kemudahan pinjaman berjangka bersindiket hijau pertama (Pinjaman Hijau) menerusi anak syarikatnya di Malaysia bagi membina kilang di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.
Kilang pembuatan kerajang tembaga pertama di luar negara bagi konglomerat Korea Selatan itu bernilai RM2.3 bilion dan mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 50,000 tan yang akan meningkatkan kemampuan pengeluaran global SK Nexilis sebanyak dua kali ganda.
Kerajang tembaga yang dihasilkan akan digunakan secara eksklusif dalam bateri kenderaan elektrik yang membolehkan penyelesaian mobiliti rendah karbon yang mampan di pelbagai lokasi termasuk di Korea Selatan, Malaysia, Poland dan Amerika Utara.
Ketua Pegawai Eksekutif SK Nexilis Malaysia, Shin Dong Hwan berkata, penggunaan tenaga elektrik untuk memacu kenderaan bermotor amat penting bagi penyahkarbonan sektor pengangkutan yang menghasilkan kira-kira satu perlima daripada pelepasan gas rumah kaca (GHG) di peringkat global.
Katanya, kemudahan pembuatan baharu ini bukan sahaja menggalakkan inisiatif penyahkarbonan, tetapi juga mencipta peluang pekerjaan bagi rangkaian bakat tempatan dan menggalakkan lebih banyak pelaburan.
"Ini adalah untuk mengukuhkan pembangunan rantaian bekalan global bagi kenderaan elektrik dan kami berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada gerakan ESG ini dengan rakan-rakan kewangan utama dalam usaha beralih kepada masa depan yang lebih cerah dan lestari," katanya.

Kata Dong Hwan, pinjaman itu adalah kemuncak komitmen berterusan firma itu terhadap alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).
"Ini seperti yang ditunjukkan oleh inisiatif sifar bersih serta RE100 syarikat termasuk sokongan padu daripada kerajaan Malaysia," katanya dalam satu kenyataan bersama dengan OCBC Bank (Malaysia) Bhd.
OCBC Bank bertindak sebagai penasihat penstrukturan pinjaman hijau dan menasihati rangka kerja pembiayaan hijau agar bersesuaian dengan objektif ESG syarikat.
Bank itu juga bertindak sebagai pengatur utama bermandat, ejen kemudahan dan sekuriti serta pemberi pinjaman bersama, dengan AmInvestment Bank Bhd sebagai pengatur utama bermandat dan AmBank (M) Bhd sebagai pemberi pinjaman bersama.
Sementara itu, Pengarah Urusan, Pegawai Bank Kanan dan Ketua Perbankan Pelaburan OCBC Bank, Tan Ai Chin berkata, sebagai hab elektrik dan elektronik yang utama, Malaysia berada pada kedudukan yang mantap untuk membangunkan asas serta ekosistem pengeluaran kenderaan elektrik yang berkembang pesat.
“Kami menghargai SK Nexilis atas pandangan jauh pihak pengurusan yang meletakkan inovasi dan ESG sebagai teras visinya.
“OCBC Bank juga telah menjadi pelopor di barisan hadapan agenda ESG,” katanya.
SK Nexilis juga melantik Moody's untuk mengeluarkan laporan pendapat pihak kedua yang memperakui rangka kerja pinjaman untuk mematuhi prinsip pinjamannya.
SKC Ltd, yang merupakan sebahagian daripada SK Group, salah satu konglomerat terbesar di Korea Selatan mempunyai objektif kelestarian menyeluruh.
Sebelum ini, SKC melancarkan inisiatif meliputi seluruh kumpulan bagi mencapai sifar bersih pada 2040 dan RE100, yang merupakan inisiatif untuk beralih kepada 100 peratus penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) dalam operasinya, menjelang 2050.- DagangNews.com
