SK TUDM Subang menang Sekolahku Popular, bawa pulang Smartboard Arvia RM8,500

3 Oct 2023 • 10:58 AM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Para guru SK TUDM Subang bersama-sama bergambar para tetamu dengan hadiah yang dimenangi iaitu Smartboard Arvia berharga RM8,500.

Sekolah Kebangsaan (SK) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang dinobatkan sebagai pemenang pertandingan Sekolahku Popular yang dianjurkan sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari sekali gus menerima Smartboard Arvia berharga RM8,500.

Penolong Kanan Kokurikulum SK TUDM Subang, Fadzilah Zainu Hasri berkata, pihak sekolah menzahirkan penghargaan kepada Kumpulan Sinar Karangkraf kerana menganjurkan pertandingan itu dan memberikan hadiah yang boleh dimanfaatkan oleh murid.

“Sebaik sahaja mengetahui ganjaran yang disediakan oleh pihak penganjur, saya berbincang dengan guru pusat sumber sekolah (PSS) untuk menghantar sebanyak mungkin penyertaan.

“Akhirnya, pihak sekolah membuat keputusan membawa kesemua murid Tahun Enam untuk menyertai program itu, namun ia tidak akan berhasil tanpa kerjasama daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK TUDM Subang,” katanya.

image is not available
FADZILAH

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Smart Board Arvia di SK TUDM Subang di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Fadzilah memberitahu, pihak sekolah menghantar satu surat kepada PIBG untuk memohon bantuan pengangkutan.

Katanya, usaha itu mendapat sambutan daripada persatuan itu yang memperuntukkan enam bas untuk membawa murid-murid dan guru ke Karnival Pendidikan Sinar Bestari.

image is not available
Murid SK TUDM Subang teruja rangkul gelaran Sekolahku Popular sempena Karnival Pendidikan Sinar Bestari.


image is not available
Murid SK TUDM begitu bersemangat menyaksikan penyerahan Smartboard Arvia pada Isnin.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG SK TUDM Subang, Yusri Jamari berkata, pihaknya sentiasa menyokong inisiatif yang dilakukan oleh pihak sekolah dalam meningkatkan mutu pembelajaran murid.

“Mendengar penjelasan daripada pihak sekolah, kami (ahli PIBG) telah berbincang mengenai kaedah menghantar anak-anak ke program tersebut.

“Alhamdulillah, kami mendapat kerjasama yang baik daripada pihak TUDM untuk membantu menyediakan enam bas,” katanya.

image is not available
YUSRI

Beliau memberitahu, pihak persatuan begitu menyokong penglibatan murid-murid ke acara berkenaan kerana dapat memberikan pendedahan meluas bukan sahaja dari aspek pendidikan tetapi pengalaman menyertai acara berskala besar.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin pula berkata, kriteria dalam menentukan pemenang Sekolahku Popular adalah menerusi jumlah terbanyak penyertaan murid daripada sesebuah sekolah.

“Pertandingan ini mendapat sambutan menggalakkan kerana banyak sekolah menghantar penyertaan lebih 100 murid,” ujarnya.

image is not available
NIK JUSTIN

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Israk Solution Sdn Bhd (Israk Solution), Ahmad Najib Habeb berkata, pihaknya menyambut baik inisiatif Kumpulan Sinar Karangkraf mengetengahkan aspek pendidikan ke arah pendigitalan.

“Tujuan kerjasama ini adalah kerana pendekatan dibawa oleh Sinar Bestari menerusi program sekolah ke sekolah yang digelar sebagai Program Jelajah TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS).

“Memandangkan kita ke arah pendigitalan pendidikan sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan (KPM), jadi memang ada persamaan objektif. Saya berasakan kolaborasi ini merupakan sinergi terbaik,” katanya.

image is not available
AHMAD NAJIB


image is not available
Yusri (tengah) menyerahkan cenderahati kepada Nik Justin pada Majlis Penyerahan Smartboard Arvia di SK TUDM Subang pada Isnin.


image is not available
Majlis penyerahan turut dimeriahkan dengan persembahan bicara berirama.


image is not available
Majlis Penyerahan Smartboard Arvia turut diserikan dengan persembahan daripada murid bicara berirama SK TUDM Subang.