
PETALING JAYA – Kerajaan masih menanggung kerugian mencecah RM20 bilion ekoran skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), meskipun RM31.3 bilion berjaya diperoleh semula menerusi usaha pemulihan aset setakat ini.
Kementerian Kewangan (MOF) berkata, jumlah keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung kerajaan adalah sebanyak RM51.4 bilion.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM42.5 bilion dibayar kerajaan, manakala baki hutang yang masih perlu ditanggung berjumlah RM8.9 bilion.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha mendapatkan semula aset 1MDB bukan semata-mata membabitkan wang yang telah hilang.
“Usaha pemulihan ini bukan semata-mata soal menuntut kembali wang yang hilang. Amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa turut tergadai dalam episod hitam negara ini.
“Justeru, Kerajaan Madani berikhtiar memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi agar pengkhianatan sebesar ini tidak berulang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dalam pada itu, MOF mengambil maklum tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura terhadap DBS Bank Ltd oleh empat syarikat yang sedang dalam proses pembubaran bersama pelikuidasi dilantik mahkamah.
Tuntutan itu bagi mendapatkan ganti rugi kira-kira AS$1.298 bilion (RM4.2 bilion) berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada 1MDB dan SRC International Sdn. Bhd.
Menurut Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, tuntutan tersebut melibatkan lima akaun DBS yang dibuka pada 2013 oleh empat syarikat terbabit.
Dokumen pembukaan akaun menamakan Tan Kim Loong atau Eric Tan sebagai pemilik benefisial tunggal syarikat terbabit dan penandatangan bagi kelima-lima akaun tersebut.
Akaun berkenaan didakwa digunakan untuk menyalurkan lebih AS$1 bilion dana 1MDB dan SRC yang diseleweng antara 2013 hingga 2014.
MOF berkata, usaha pemulihan aset itu turut melibatkan kerjasama dan proses perundangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.
Antara pemulihan terbaharu ialah penyelesaian dicapai kerajaan dengan JPMorganChase pada Ogos 2025 membabitkan sumbangan RM1.4 bilion ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.
Dana yang diperoleh semula menerusi akaun tersebut digunakan bagi membayar hutang dan memenuhi tanggungan kewangan sedia ada berkaitan 1MDB dan SRC, sekali gus mengurangkan beban terhadap kewangan awam. – KOSMO! ONLINE
The post Skandal 1MDB: Kerajaan masih tanggung rugi RM20 bilion appeared first on Kosmo Online.



