Skandal NexG: Hanifah Noordin perlu beri maklumat penuh – Ahli akademik

LocalPolitics
6 Apr 2026 • 8:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ahmed Razman berkata, pemegang saham NexG boleh meminta lembaga pengarah syarikat untuk memberi penerangan tentang isu yang berlaku.

KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NexG Bhd (NexG), Datuk Abu Hanifah Noordin bertanggungjawab untuk memberi maklumat penuh kepada lembaga pengarah syarikat berhubung kemelut yang melanda syarikat itu.

Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, pihak lembaga pengarah syarikat pula perlu memaklumkan kepada pemilik syarikat iaitu pemegang saham, terutama melibatkan isu perbelanjaan RM303.7 juta.

“Jika pemegang saham NexG mahukan penjelasan mengenai isu terkini syarikat tersebut, ahli lembaga pengarah termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) harus mengadakan sesi taklimat dan maklum balas bersama pemegang saham syarikat.

“Sebagai pemilik syarikat NexG, pemegang saham NexG boleh meminta lembaga pengarah syarikat untuk memberi penerangan tentang isu yang berlaku,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ditanya sama ada langkah untuk memberi penjelasan berhubung isu NexG ini perlu kerana ia melibatkan kepentingan negara, apatah lagi membabitkan kontrak pembekalan MyKad dan dokumen strategik negara yang lain, Ahmed Razman berkata, ia bergantung kepada pihak yang meminta penjelasan.

“Lembaga pengarah syarikat bertanggungjawab kepada pemilik syarikat dan pemegang taruhnya. Jika pemegang taruh meminta penjelasan, lembaga pengarah perlu memberi penjelasan,” katanya.

Sebelum ini, Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) memandang serius dakwaan bahawa Victor Chin Boon telah meninggalkan negara ketika siasatan sedang dijalankan berhubung perbelanjaan RM303.7 juta melibatkan syarikat NexG Bhd.

Presidennya, Jais Abdul Karim berkata, jika benar, perkembangan itu menimbulkan persoalan terhadap tahap pematuhan undang-undang, kawalan dalaman syarikat serta keberkesanan mekanisme pemantauan pihak berkuasa.