
ANKARA – Pendakwa raya Turkiye membekukan aset seorang pegawai kanan parti pemerintah dan bekas menteri yang meletak jawatan hujung minggu lalu susulan dakwaan beliau mendapat keuntungan besar daripada krisis dana pelaburan.
Langkah itu melibatkan aset Fatma Betul Sayan Kaya yang merupakan pemimpin kanan parti pemerintah AKP pimpinan Presiden Recep Tayyip Erdogan, dan berlaku menjelang pembukaan semula Parlimen selepas cuti musim panas.
Turkiye sedang bergelut dengan impak skandal dana pelaburan yang meletus bulan ini susulan kejatuhan apa yang dipanggil oleh para pegawai sebagai skim ‘cepat kaya’.
Kaya meletak jawatan sebagai timbalan pengerusi AKP Sabtu lalu selepas parti pembangkang utama, Parti Yeni mendakwa, beliau dan suaminya didakwa menjana untung jutaan dolar melalui jual beli saham dalam tempoh hanya lima bulan.
Kaya yang merupakan menteri keluarga Turkiye dari 2016 hingga 2018 berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan, namun mengambil ‘tanggungjawab politik’ bagi memastikan sebarang siasatan dapat dilakukan secara ‘bebas dan saksama’.
Sabtu lalu, jurucakap Yeni, Gokhan Gunaydin, berkata, parti itu menuntut penjelasan berhubung dakwaan Kaya melabur sebanyak 63 juta lira (RM5.2 juta) dalam April 2026 dan menjual pegangannya September lalu dengan mendapat keuntungan kira-kira 1.3 bilion lira (RM108.2 juta).
Menurut Gunaydin, suami Kaya juga didakwa melabur 100 juta lira (RM8.3 juta) dan mendapat pulangan 826 juta lira (RM68,8 juta) dengan mereka secara keseluruhannya memperoleh untung bersih hampir 2.2 bilion lira (RM183.2 juta).
Gunaydin berkata, adalah jelas Kaya telah menerima maklumat dalaman dan berikrar, parti itu akan mendedahkan lebih banyak nama pada minggu ini.
Beberapa laman media Turkiye melaporkan bahawa Kaya telah memulangkan semula wang yang diperolehinya, dan beliau belum ditahan berhubung kes tersebut.
“Nama ini hanyalah sebahagian kecil daripada mereka yang terlibat,” kata pemimpin Yeni, Ozgur Ozel semalam sambil menyifatkan skandal itu sebagai ‘rompakan abad ini’.
Krisis dana pelaburan itu dijangka mendominasi agenda Parlimen yang dibuka semula esok (waktu Malaysia) dengan Erdogan dijangka menyampaikan ucapannya.
Menteri Kehakiman, Akin Gurlek berkata, pasukan penyiasat sedang meneliti 217 suspek, dengan 56 daripada mereka telah direman, manakala 88 lagi diberikan pembebasan bersyarat.
Menurutnya, pihak pendakwaan sedang meneliti ‘26 saham yang dianggap tertakluk kepada transaksi spekulatif dan manipulatif’ bersama-sama aktiviti ‘akaun yang menjana keuntungan pada kadar luar biasa dalam tempoh singkat’.
Pihak berkuasa Turkiye turut membubarkan tujuh syarikat yang memegang 131 dana pelaburan melibatkan aset keseluruhan bernilai sekitar AS$17 bilion (RM69.4 bilion).
Lembaga Pasaran Modal Turkiye (SPK) menyatakan, lebih 455,000 pelabur individu terjejas akibat skandal tersebut. – AFP
The post ‘Skim cepat kaya’ gegar Turkiye, bekas menteri didakwa untung lebih RM100 juta appeared first on Kosmo Online.

