SHAH ALAM, 11 OKT: Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) bawah Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) menjadi skim pembiayaan paling mendapat sambutan dalam kalangan usahawan, kata ketua pegawai eksekutifnya.
Menurut Dato’ Mearia Hamzah, pembiayaan itu mendapat sambutan berbanding skim i-Bisnes berikutan ia khusus kepada usahawan wanita yang ingin memulakan perniagaan kecil-kecilan namun memerlukan modal pusingan perniagaan.

“Sepanjang tahun ini, Hijrah Selangor mengeluarkan pembiayaan sebanyak RM46.5 juta bagi kedua-dua skim ini. Bagi skim NaDI terus mendapat sambutan dengan membantu 288 wanita dengan peruntukan RM2 juta.
“Kedua-dua skim ini mempunyai kekuatan sendiri tetapi bagi NaDI yang menawarkan pinjaman RM5,000 merupakan pinjaman berkumpulan. Sementara i-Bisnes pembiayaan sehingga RM50,000 diberikan kepada individu perlu berdaftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia sekurang-kurangnya setahun,” katanya.
Ditemui di ibu pejabat Hijrah Selangor, beliau berkata pihaknya akan memperluaskan NaDI di Kuala Langat dan Kuala Selangor pada tahun hadapan bagi memastikan lebih ramai wanita yang ingin memulakan perniagaan dibantu.
“Skim ini telah dilaksanakan di kawasan luar bandar seperti di Sabak Bernam dan Hulu Selangor dan kita akan perluaskan supaya lebih ramai terima manfaat.
“Buat masa ini, sektor menjadi tumpuan usahawan untuk memulakan perniagaan dengan skim NaDI ialah makanan, pakaian dan perkhidmatan,” katanya.
Pada 11 September lalu, Mearia berkata pihaknya meluluskan 90,475 pembiayaan sejak awal penubuhannya pada 2015 hingga Ogos lalu.
Jelasnya, pembiayaan itu telah memanfaat 60,249 usahawan Hijrah Selangor, sekali gus membantu mereka melakukan pusingan modal perniagaan serta membeli kelengkapan perniagaan.
The post Skim NaDI terus dapat sambutan, bantu wanita mulakan perniagaan appeared first on Selangorkini.
