Skim pembantu tadbir: AUEGCAS bentang cadangan perubahan Gred 1 ke Gred 5

LocalPolitics
15 Apr 2026 • 6:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Skim pembantu tadbir: AUEGCAS bentang cadangan perubahan Gred 1 ke Gred 5
Antara wakil AUEGCAS dan JPA yang hadir dalma perbincangan yang berlangsung di sini pada Rabu.

PUTRAJAYA - Gabungan Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) membentangkan cadangan komprehensif berhubung kaedah dan syarat perubahan Gred 1 ke Gred 5 bagi skim pembantu tadbir.

Setiausaha Agungnya, Amir Hamzah Yakat Ali berkata, antara cadangan utama yang diketengahkan termasuk penjumudan terus bagi pegawai yang mempunyai pengalaman melebihi 10 tahun tanpa keperluan tambahan syarat akademik yang ketat.

Menurutnya, cadangan tersebut turut merangkumi pengiktirafan kelayakan akademik daripada Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) hingga ke peringkat doktor falsafah (PhD), selain laluan Kenaikan Pangkat Secara Lantikan (KPSL) tanpa ujian psikometrik.

"Cadangan ini merupakan hasil penelitian menyeluruh terhadap keperluan semasa penjawat awam dalam skim pembantu tadbir.

"Ia bukan sahaja mengambil kira aspek pengalaman dan kelayakan akademik, malah memberi penekanan kepada keadilan laluan kerjaya serta pengiktirafan terhadap sumbangan sebenar warga pembantu tadbir yang telah lama berkhidmat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

AUEGCAS sebelum itu membuat perbincangan bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di sini, bagi membincangkan kaedah penetapan syarat bagi perubahan gred berkenaan susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Mac lalu.

Menurut Anwar seramai 125,000 pembantu tadbir, pengkeranian dan kewangan Gred 1 bakal dinaikkan kepada Gred 5 bermula Januari tahun depan bagi meningkatkan kedudukan kumpulan penjawat awam berkenaan yang dilihat masih berada pada gred terlalu rendah walaupun pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) telah dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pendekatan penjumudan dan pelaksanaan kursus penyesuaian juga merupakan langkah praktikal bagi memastikan proses peralihan gred dapat dilaksanakan secara lebih inklusif dan berkesan.

“AUEGCAS berpandangan bahawa sudah tiba masanya satu pendekatan baharu yang lebih fleksibel dan realistik dilaksanakan, selaras dengan perubahan landskap perkhidmatan awam dan tuntutan semasa," katanya.

Beliau menambah, pihaknya juga akan terus komited bekerjasama dengan JPA serta semua pihak berkepentingan bagi memastikan cadangan ini dapat direalisasikan demi kebajikan dan masa depan warga Pembantu Tadbir.

 

 

View Original Article