Skim Potongan Gaji sumbang RM415.17 juta kutipan Zakat Selangor

LocalBusiness & Finance
7 Jul 2026 • 3:41 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Skim Potongan Gaji sumbang RM415.17 juta kutipan Zakat Selangor

SHAH ALAM, 7 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (Zakat Selangor) merekodkan kutipan Skim Potongan Gaji (SPG) berjumlah RM415.17 juta sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Khaidzir Shahari berkata kutipan itu hasil sumbangan hampir 198,000 pembayar zakat menerusi penyertaan 5,069 majikan di seluruh Selangor.

Menurutnya, SPG memudahkan pekerja Islam menunaikan kewajipan zakat secara konsisten melalui potongan gaji bulanan tanpa perlu melalui proses pembayaran yang rumit.

Image from: Skim Potongan Gaji sumbang RM415.17 juta kutipan Zakat Selangor
Pengerusi Zakat Selangor, Tan Sri Syed Anwar Jamalullail melakukan gimik perasmian IKTIRAF sempena Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor di Dewan Orkid, Wisma PKPS pada 7 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

“Pada tahun 2025, Zakat Selangor mencatatkan pencapaian yang amat membanggakan melalui skim potongan gaji, dengan sebanyak 5,069 majikan terlibat dalam pelaksanaan skim potongan zakat ini.

“Jumlah pembayar zakat yang berjaya dikutip melalui sistem ini adalah seramai 198,000 pembayar dengan jumlah keseluruhan kutipan mencapai RM415.17 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor di Dewan Orkid, Wisma PKPS di sini hari ini.

Mohd Khaidzir berkata Zakat Selangor menyasarkan kutipan RM780 juta melalui SPG dan ejen kutipan tahun ini bagi memastikan lebih ramai asnaf menerima manfaat bantuan.

“Sasaran ini bukan sekadar angka sebaliknya melambangkan hasrat untuk membantu lebih ramai asnaf, melahirkan lebih ramai pembayar zakat yang istiqamah dan memperkukuhkan ekonomi ummah.

“Keberkesanan sistem potongan gaji ini memudahkan ramai pekerja untuk menunaikan kewajipan zakat mereka tanpa perlu bimbang tentang proses yang rumit.

“Ia juga menunjukkan komitmen majikan dalam menyokong tanggungjawab sosial dan agama, serta memberi impak positif kepada kesejahteraan masyarakat kita,” katanya.

Sementara itu, kutipan zakat menerusi ejen turut mencatat prestasi memberangsangkan apabila mencecah RM279.74 juta tahun lalu, hasil sumbangan 132,728 pembayar.

Mohd Khaidzir berkata komitmen berterusan majikan dan ejen kutipan membolehkan Zakat Selangor memudahkan urusan lebih 400,000 pembayar zakat, sekali gus memperkukuh agihan bantuan kepada golongan asnaf.

Katanya, Zakat Selangor kini mempunyai 262 ejen dan rakan kutipan, terdiri daripada 124 Ejen Perunding Zakat, 93 Institusi Pengajian Islam Swasta (IPIS), 25 Pusat Perkhidmatan Setempat (PSP) dan 20 institusi pengajian tinggi (IPT), yang berperanan memperluaskan akses perkhidmatan serta membimbing masyarakat menunaikan zakat.

Terdahulu, turut dilancarkan Inisiatif Pengiktirafan Muzakki Zakat Selangor (IKTIRAF) oleh Pengerusi Zakat Selangor Tan Sri Syed Anwar Jamalullail bagi mengiktiraf syarikat dan organisasi yang bukan sahaja konsisten menunaikan zakat perniagaan, malah menzahirkan keprihatinan dan komitmen terhadap kesejahteraan serta pembangunan asnaf di Selangor.

IKTIRAF diperkenal bagi menggalakkan lebih banyak syarikat menjadikan zakat sebagai sebahagian daripada budaya korporat yang bertanggungjawab.

Majlis tersebut turut menghimpunkan 300 wakil majikan, 115 ejen kutipan, 15 pembayar korporat serta rakan strategik sebagai penghargaan atas komitmen mereka memperkasa kutipan zakat.

Pada majlis sama, seramai 16 ejen kutipan terbaik dan enam majikan menerima anugerah penghargaan atas komitmen serta sumbangan mereka dalam menjayakan kutipan zakat menerusi skim berkenaan.

Image from: Skim Potongan Gaji sumbang RM415.17 juta kutipan Zakat Selangor
Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Selangor, Mohd Khaidzir Shahari bersama penerima Anugerah sempena Majlis Gemerlapan Rakan Strategik Zakat Selangor di Dewan Orkid, Wisma PKPS pada 7 Julai 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved