SKKM Perkukuh Kerjasama Dengan Polis Perangi Buli Siber

13 Jul 2024 • 1:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
- Gambar fail

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyambut baik pengumuman kerajaan untuk meneliti pindaan undang-undang sedia ada termasuk Kanun Keseksaan, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta mempertimbangkan keperluan menggubal atau mewujudkan akta baharu dalam menangani isu buli siber.

SKMM dalam kenyataan hari ini memaklumkan pengumuman berkenaan menghantar isyarat penting bahawa kerajaan komited dan serius dalam menangani masalah buli siber yang berlaku sehingga mengakibatkan kehilangan nyawa.

"Langkah itu juga akan membolehkan pihak berkuasa melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih efektif selain membawa mereka yang terlibat ke mahkamah, sekali gus memberi pembelaan sewajarnya kepada mereka yang terkesan," menurut kenyataan itu.

SKMM turut memaklumkan pihaknya dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) untuk memudahkan proses membuat aduan buli siber.

"Sinergi bersama PDRM juga akan dikukuhkan bagi memastikan inisiatif ini berkesan dan memberi impak kepada rakyat.

"SKMM dan Kementerian Komunikasi juga merancang untuk menganjurkan siri jelajah ke seluruh negara untuk menyebarkan mesej dan modul cegah buli siber di segenap lapisan rakyat," menurut kenyataan itu.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semalam berkata dalam usaha menangani masalah buli siber di platform media sosial, Kementerian Komunikasi akan meneliti pindaan undang- undang sedia ada di bawah Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 selain undang-undang lain yang berkaitan.

Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti jika terdapat keperluan bagi mewujudkan atau menggubal akta baharu khusus untuk buli siber. – BERNAMA
 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved