
SANDAKAN: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) berusaha membantu koperasi-koperasi yang menceburi bidang perladangan untuk lebih aktif dan berdaya saing.
Pengarah SKM Sabah, Matias Kundapin berkata terdapat 28 buah Koperasi Penanam Sawit Mampan (KPSM) ditubuhkan di Sabah.
“KPSM ini sebenarnya sangat membantu dalam mengurangkan kos pengangkutan, mendapatkan harga pasaran buah tandan segar yang lebih tinggi dan menggalakkan penjanaan pendapatan serta pengagihan dividen kepada ahli-ahlinya.
“Penglibatan aktif KPSM telah menunjukkan potensi yang besar dalam sektor perladangan, lebih-lebih lagi dalam momentum peningkatan pendapatan koperasi di Sabah. Dalam pendekatan lain, melalui KPSM kita boleh mewujudkan pusat sehenti, sebagai pusat tumpuan perniagaan yang boleh memberi manfaat kepada komuniti atau masyarakat setempat bagi kawasan luar bandar,” katanya.
SPONSORED CONTENT Daily Express members: Enjoy 1 for 1 signature cocktails and more at Hyatt Centric Kota Kinabalu Kota Kinabalu: DAILY EXPRESS is partnering with Hyatt Centric Kota Kinabalu to offer an exclusive deal for our members. Read more Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Program Memperkasakan Rangkaian Aktiviti Sektor Perladangan di sini, Rabu lepas.
Program dua hari itu bertujuan untuk memperkasa dan mengukuhkan struktur atau sistem perniagaan koperasi dalam sektor perladangan melalui penyampaian maklumat oleh agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Pertanian, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, Lembaga Koko Malaysia dan perkongsian koperasi.
Selain itu, Matias berkata program itu mampu mewujudkan hubungan dan jaringan perniagaan secara kerjasama antara koperasi untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan koperasi dalam aktiviti perladangan.
“Di samping itu, memperkukuhkan perniagaan koperasi dan memastikan sektor ini kekal berdaya saing dengan pengaplikasian teknologi terkini bagi membantu aktiviti perladangan yang turut menekankan aspek kelestarian dan memberi manfaat yang seimbang kepada semua termasuk kepada ekosistem dan biodiversiti,” tambahnya.
Matias turut menyarankan koperasi-koperasi untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan sektor perladangan dan asas tani bagi membolehkan koperasi perladangan menceburi bidang baharu seperti bioteknologi dan perusahaan berasaskan herba.
“Siapa tahu, dengan penglibatan koperasi di dalam bidang tersebut mampu menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi perladangan dan industri berasaskan komoditi,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

