SKMM akan pastikan harga 5G rangkaian kedua kekal - Gobind

29 Jul 2024 • 1:18 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berucap pada majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Digital Nasional Berhad DNB dengan CyberSecurity Malaysia CSM di My5G Portal, The Exchange TRX pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan memastikan harga 5G di bawah rangkaian kedua kekal pada kadar sedia ada, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata, harga adalah antara aspek yang telah diambil kira semasa proses penilaian pelaksanaan rangkaian itu.

"SKMM prihatin mengenai persoalan ini dan kita telah mengambil langkah untuk memastikan (supaya) apabila rangkaian kedua diwujudkan, harga yang ditetapkan akan mengikut harga sedia ada. Perkara (itu) dalam perhatian MCMC dan proses (penetapan harga) masih berjalan,” katanya di sini, pada Isnin.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Cybersecurity Malaysia untuk meningkatkan keselamatan siber rangkaian 5G Malaysia.

Kerjasama itu melibatkan pembangunan panduan keselamatan 5G yang akan digunakan sebagai asas keperluan industri di samping berfungsi sebagai panduan untuk asas keselamatan 5G masa depan.

Gobind berkata, rangkaian 5G merupakan antara sektor Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara, yang memberi kesan kepada pertahanan, kestabilan ekonomi, fungsi kerajaan dan rutin sosial negara.

"Kemajuan digital semakin mendatangkan cabaran besar khususnya dalam bidang keselamatan siber, justeru perkara itu mesti dilihat sebagai tanggungjawab bersama,” katanya ketika berucap pada majlis itu.

Beliau berkata, pada masa sama, DNB dan CSM juga akan menubuhkan Pusat Ujian Keselamatan Siber 5G Nasional yang akan berfungsi sebagai platform untuk peserta industri mengenal pasti kelemahan, memastikan pematuhan kepada piawaian dan mengenal pasti langkah keselamatan.

Beliau turut mengalu-alukan peserta industri berkaitan untuk menjalinkan kerjasama dalam mengukuhkan keselamatan siber negara.

Selain itu, Gobind berkata susulan gangguan teknologi maklumat (IT) global baru-baru ini, syarikat terlibat sama ada Microsoft atau CrowdStrike perlu memberi jaminan bahawa satu audit akan dilaksanakan untuk memastikan sistem terjejas adalah selamat.

"Mereka perlu memastikan perkara sebegitu tidak berulang lagi. Sekiranya ada kelemahan, perkara itu perlu diuruskan segera.

"Saya telah memaklumkan perkara ini kepada pihak terlibat dan dalam proses mendapatkan laporan. Selepas dibentangkan kepada saya, satu sidang media akan diadakan,” katanya.

Gobind berkata, beliau akan memberikan penjelasan mengenainya selain langkah yang akan diambil untuk memastikan perkara yang sama (gangguan IT) tidak berulang pada masa hadapan.

Cadang tubuh Suruhanjaya Data galak pasaran pusat data

Dalam pada itu, Kementerian Digital bercadang untuk menubuhkan Suruhanjaya Data Malaysia bagi membolehkan kerangka dan polisi yang mencukupi dapat dibangunkan untuk melindungi data rakyat serta menggalakkan penggunaan pusat data di dalam negara.

Gobind berkata bagi tujuan itu, pihaknya merancang untuk meminda Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Pindaan tersebut dijangka dibentangkan di Parlimen pada Mac atau pertengahan tahun depan, katanya selepas majlis pemeteraian perjanjian kerjasama antara Digital Nasional Bhd (DNB) dan Cybersecurity Malaysia di sini, pada Isnin.

Beliau berkata, teknologi baharu semakin bersandarkan kepada kecerdasan buatan (AI) dan kerajaan sedia maklum bahawa aspek yang paling penting untuk menjayakan industri ini adalah pusat data.

Justeru, kerajaan telah menumpukan usaha untuk membawa pelaburan besar khususnya pusat data dan sebagainya, katanya.

"Kita lihat (ada) pelaburan daripada Google, Microsoft, ByteDance dan sebagainya dengan jumlah pelaburan cukup besar," katanya.

Gobind berkata pada masa ini, Malaysia telah mempunyai Pesuruhjaya Data dan sebuah jawatankuasa.

"Jadi, saya ingin memfokuskan untuk kita menggunakan platform ini dan memperkukuh jawatankuasa tersebut terlebih dahulu serta bergerak ke depan.

"Kita akan mencadangkan kepada kerajaan supaya jawatankuasa ini dijadikan sebagai Suruhanjaya Data supaya dapat lebih memfokuskan aspek data," katanya. - Bernama