Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia baru-baru ini dilaporkan telah membuang sebanyak 10,493 kandungan palsu dan 30,427 kandungan berkaitan scam/penipuan dari platform-platform atas talian sejak Januari 2025 ke 15 April 2025.
Menurut laporan Bernama, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching mengatakan bahawa rakyat Malaysia tidak lagi boleh membaca artikel ataupun menonton kandungan secara pasif dan menerimanya sebagai fakta, dan kini perlu mengesahkan dengan aktif bahawa kandungan yang dilihat itu adalah benar dan jitu.

Beliau mengatakan bahawa tidak salah untuk mendapatkan maklumat melalui sumber atas-talian, akan tetapi sayangnya maklumat yang dibaca perlu disemak untuk fakta yang benar, dan ini memerlukan rakyat untuk menjadi celik digital.
Pada tahun ini, SKMM akan mula meningkatkan kesedaran rakyat melalui kempen seperti Kempen Internet Selamat yang bertujuan untuk memberi anak-anak di sekolah pendedahan mengenai kepentingan keselamatan atas talian serta melindungi diri daripada ancaman siber.



