
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memfailkan saman RM300 juta ke atas Google di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana didakwa cuai dalam menangani kandungan yang dianggap palsu dan memfitnah di YouTube di saluran dikaitkan dengan Papagomo atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri.

SKMM mendakwa kandungan tersebut masih boleh diakses YouTube walaupun selepas mereka mengeluarkan notis kepada Google berhubung kandungan berkenaan. Google sebagai penyedia perkhidmatan berlesen dilihat gagal menilai dan menyiasat kandungan yang dipertikaikan secara sewajarnya, tidak mengambil tindakan segera untuk memadam atau menyekat akses kepada kandungan tersebut dan terus membenarkan kandungan disebarkan selepas menerima notis daripada SKMM.
Menurut SKMM kandungan berkenaan adalah palsu, mengelirukan dan tidak berasas berhubung tokoh awam, institusi kerajaan, pihak berkuasa serta kepentingan awam.
Akhir sekali SKMM turut memohon beberapa perintah injunksi terhadap Google antaranya supaya syarikat itu meneruskan tindakan menyekat akaun YouTube berkenaan serta mengambil tindakan dalam tempoh 24 jam untuk mengesan dan memadamkan sebarang kandungan serupa yang menampilkan Papagomo ssama ada dimuat naik menerusi akaunnya sendiri atau akaun pihak ketiga.
Sumber – Bernama





