SKMM Sedia Bekerjasama Dengan KKM Untuk Tangani Isu Ketagihan Media Sosial

TechnologyDigital
13 Mar 2025 • 3:32 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyatakan bersedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani isu ketagihan media sosial yang semakin membimbangkan.

image is not available

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, menjelaskan bahawa SKMM tidak mempunyai kepakaran khusus dalam isu berkenaan, tetapi mereka komited untuk menyokong usaha ini dengan menyediakan garis panduan dan langkah keselamatan yang berkaitan. Ia lebih mengkhususkan bagi pengguna berumur 18 tahun ke bawah, sementara itu pengguna dewasa pula sepatutnya perlu lebih bertanggungjawab terhadap pilihan mereka sendiri.

image is not available

Pelbagai usaha turut dilakukan seperti Klik Dengan Bijak (KDB) dan Sukarelawan ICT Malaysia (MIV), yang bertujuan untuk mendidik ibu bapa dan orang ramai tentang keselamatan dalam talian. Selain itu, SKMM juga melancarkan Jelajah Kempen Keselamatan Dalam Talian yang melibatkan aktiviti seperti ceramah, latihan, modul khusus dan kerjasama dengan pempengaruh media sosial untuk meningkatkan kesedaran masyarakat. Terdapat juga sesi bimbingan dan kaunseling berkaitan isu sosial termasuk kesihatan mental disediakan dengan kerjasama TikTok dan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS).

Langkah itu sebahagian usaha berterusan SKMM dalam mempertingkatkan kawalan kendiri dalam kalangan pengguna agar lebih bertanggungjawab dalam mengakses dan menggunakan media sosial. Kami juga sebelum ini pernah menerbitkan artikel berhubung beberapa aplikasi yang boleh ‘mengunci’ aktiviti aplikasi media sosial yang tidak perlu termasuklah perkara yang membuatkan anda ketagih.