SKMM siasat individu muat naik kandungan ancam, hina kerabat Diraja Terengganu

LocalPolitics
22 Feb 2026 • 1:59 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

SHAH ALAM, 22 FEB: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan siasatan terhadap seorang individu yang dipercayai memuat naik kandungan berunsur ancaman, penghinaan dan jelik melampau terhadap kerabat Diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di platform X.

SKMM dalam kenyataan memaklumkan kandungan berkenaan menyentuh sensitiviti Institusi Diraja membabitkan isu 3R (agama, kaum dan institusi diraja), selain mengandungi unsur penghinaan serta ancaman yang berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam dan mengganggu ketenteraman negara.

Bagi membantu siasatan, individu terbabit dipanggil memberi keterangan di Balai Polis Lanchang pada 21 Februari lalu.

“Dalam sesi tersebut, satu unit telefon bimbit dan satu unit kad SIM telah disita bagi tujuan analisis forensik digital,” menurut kenyataan itu.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

SKMM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap Institusi Diraja.

“Tindakan penguatkuasaan akan diambil secara tegas dan profesional selaras dengan undang-undang sedia ada tanpa mengira latar belakang mana-mana pihak,” katanya.

Orang ramai turut diingatkan supaya menggunakan platform digital secara bertanggungjawab dan tidak menyebarkan kandungan yang menyalahi undang-undang serta boleh menjejaskan keharmonian negara.

Telefon bimbit dan kad SIM disita untuk analisis forensik digital, siasatan dijalankan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved