Skop tugasan Jabatan Audit Negara akan diperluas - PM Anwar
zulfadli
01/09/2023 - 18:16
KUALA LUMPUR 1 Sept - Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, skop tugasan Jabatan Audit Negara (JAN) tidak lagi sekadar dalam konteks pengauditan, sebaliknya akan diperluaskan meliputi kerangka ombudsman.
Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, perkara itu masih di peringkat perbincangan untuk memastikan skop tugasan JAN dapat diperkukuhkan.
"Berdasarkan prestasi JAN yang memuaskan dan teguran semua jabatan persekutuan dan negeri, saya sekarang sedang meneliti supaya dapat diperkukuh dan diperluaskan bidang tugas JAN.
"Perluasan bidang tugas ini supaya ia boleh merangkul apa yang disebut sebagai institusi hisbah atau yang disebut ombudsman," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan bersama pengurusan dan warga JAN di sini, hari ini.
Perdana Menteri berkata, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) amat penting dan beliau sentiasa mengikuti setiap laporan yang dibentangkan termasuk ketika menjadi Ketua Pembangkang sebelum ini.
"Kalau saya ikuti laporan JAN, semasa saya menteri, semasa saya ketua pembangkang, saya akan korek dan teliti setiap halaman untuk memberi teguran, lapor Berita Harian.

"Apa yang amat saya kesalkan ialah walaupun teguran sudah puluhan tahun, ia hampir sama dan berulang-ulang. Jadi kita harus noktahkannya," katanya.
Sementara itu, ia merupakan lawatan Perdana Menteri yang julung kali diadakan ke JAN sejak penubuhannya pada 1906.

Dalam ucapan beliau kepada hampir 1,500 warga JAN yang hadir secara bersemuka dan dalam talian dari seluruh negara, Perdana Menteri memberi penekanan kepada peranan JAN dalam menjaga tadbir urus dan akauntabiliti negara yang baik.
Tambah beliau, LKAN yang telus dan komprehensif mencerminkan keyakinan padu rakyat terhadap perkhidmatan yang disampaikan oleh kerajaan. LKAN juga membolehkan pihak kerajaan mengenal pasti isu tadbir urus yang memerlukan penyelesaian jangka segera.

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) pada 6 Julai 2023 telah bersetuju supaya LKAN dibentangkan secara berkala dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
Tindakan 'affirmative' sebegini berupaya meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dan menambah baik persepsi dunia terhadap Malaysia.
Sehingga kini, terdapat sebanyak 10,803 dari 11,224 isu telah dibangkitkan dalam LKAN sejak tahun 2011 yang telah berjaya diselesaikan di peringkat Persekutuan dan Negeri.
JAN sentiasa peka dan prihatin dalam menjalankan kuasa pengauditan untuk memeriksa dan menyiasat pengurusan wang awam dengan tumpuan kepada kepentingan rakyat dan akauntabiliti Kementerian dan Jabatan Kerajaan terhadap wang pembayar cukai yang dibelanjakan.

JAN akan terus menjalin kerjasama dengan semua pihak termasuk agensi awam dan badan lain yang berkaitan demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
Dalam usaha memartabatkan peranan Juruaudit Malaysia serta pengauditan sektor awam di persada antarabangsa, JAN telah pun memperkenalkan beberapa inisiatif baharu seperti:
- Mempelopori usaha untuk membangunkan standard pengauditan antarabangsa khusus dalam mengaudit syarikat kerajaan.
- Kaedah pengauditan penilaian kendiri (self-assessment auditing) secara rintis mulai tahun 2023 yang membolehkan pemantauan lebih menyeluruh dilaksanakan terhadap aspek tadbir urus dan kedudukan kewangan syarikat kerajaan di Malaysia.
- Menyumbang kepakaran melalui keanggotaan dalam ASOSAI Governing Board Member sejak tahun 2012 dan Malaysia telah dilantik sebagai Pengerusi ASEANSAI Knowledge Sharing Committee sejak penubuhannya pada 2011.
Perdana Menteri seterusnya telah menzahirkan penghargaan atas usaha dan sumbangan warga JAN dalam memantapkan pengurusan kewangan sektor awam serta memperkukuh akauntabiliti dan integriti di kalangan penjawat awam. - DagangNews.com


