SKP Resources rugi semula bagi 4QFY26 disebabkan kemerosotan tempahan pelanggan — PublicInvest

LocalBusiness & Finance
3 Jun 2026 • 12:55 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

SKP Resources rugi semula bagi 4QFY26 disebabkan kemerosotan tempahan pelanggan — PublicInvest Image from: SKP Resources rugi semula bagi 4QFY26 disebabkan kemerosotan tempahan pelanggan — PublicInvest amree03/06/2026 - 12:55 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Jun — Penyusutan mendadak tempahan pelanggan utama mula memberi kesan ketara kepada sektor pembuatan elektronik negara dengan SKP Resources Berhad kembali mencatat kerugian.

 

Menurut Public Investment Bank (PublicInvest), situasi negatif tersebut berikutan tekanan tarif perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan kesan berpanjangan daripada konflik di rantau Timur Tengah.


Susulan prestasi yang lebih lemah daripada jangkaan, ia menurunkan saranan saham kumpulan itu kepada 'underperform' daripada 'neutral' sebelum ini dan harga sasaran (TP) baharu 23 sen sesaham.


"SKP mencatat kerugian bersih teras RM37.3 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2026 (4QFY26), berbanding keuntungan RM30.3 juta yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu," kata firma itu.


Prestasi tersebut ujar PublicInvest, disebabkan penurunan ketara tempahan oleh beberapa pelanggan utama susulan permintaan pengguna yang semakin lemah serta ketidaktentuan geopolitik global.


Hasil suku keempat merosot 47.2% kepada RM305.1 juta berikutan pengurangan permintaan pelanggan yang terkesan oleh langkah tarif AS dan konflik yang masih berterusan di Timur Tengah sendiri.


Tambahnya, kapasiti pengeluaran yang tidak digunakan sepenuhnya turut menjejaskan keupayaan SKP untuk menyerap kos tetap operasi, sekali gus memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat.


"Kerugian ini merangkumi rosot nilai hartanah, loji dan peralatan (PPE) RM14 juta yang dikekalkan dalam unjuran keuntungan teras berikutan ketidakpastian tempoh pemulihannya," jelas PublicInvest.

 

SKP_DagangNews2026



Bagi keseluruhan FY26, prestasi kumpulan berkenaan didapati adalah jauh di bawah jangkaan apabila hanya memenuhi 49% daripada unjuran firma itu dan 41% daripada jangkaan konsensus pasaran.


Justeru, ia menyemak turun unjuran pendapatan FY28 dan FY29 masing-masing sebanyak 19% dan 11% selepas mengambil kira pemulihan yang dijangka lebih perlahan daripada jangkaan sebelum ini.


Kata PublicInvest, prospek jangka pendek SKP sendiri adalah kekal mencabar memandangkan tiada sebarang petunjuk jelas mengenai isu konflik Timur Tengah yang akan reda dalam masa terdekat.


"Peningkatan harga minyak akibat ketegangan geopolitik dijangka menaikkan kos pengeluaran, serta mengurangkan permintaan terhadap produk elektronik yang bersifat perbelanjaan pilihan," ujarnya.


Walaupun SKP berjaya memperoleh kontrak model aksesori baharu, firma itu berpandangan sumbangan daripada produk tersebut masih belum cukup besar untuk mengimbangi kelemahan permintaan semasa.


Tambah PublicInvest, selagi kadar penggunaan kapasiti kekal rendah dan struktur kos tetap tidak banyak berubah, tekanan terhadap margin keuntungan dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.


Sehubungan itu, ia mengambil pendirian lebih berhati-hati terhadap prospek SKP dan menurunkan penarafan saham syarikat itu kepada 'underperform'. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved