
Kota Kinabalu: Ketua jurulatih skuad Bawah-19 Sabah FC, Johnny Dominicus (gambar) berharap pemain-pemainnya akan meraih sekurang-kurangnya satu mata dalam perlawanan Kumpulan C saingan Piala Belia menentang Sri Pahang di Stadium Mini Muadzam Shah petang ini.
Beliau menjangkakan perlawanan yang sukar kerana Sabah terpaksa bangkit daripada ketinggalan dua kali untuk seri 2-2 dalam perlawanan pusingan pertama yang diadakan di Stadium Penampang pada Mac.
“Ia tidak mudah kerana Sri Pahang ketika ini mengungguli carta dengan 11 mata disusuli PJ City dengan 10 mata sementara kami di tangga ketiga dengan sembilan mata.
“Untuk dapat seri dan kembali dengan satu mata sudah dianggap baik bagi kami, tetapi sudah tentu kami akan cuba yang terbaik untuk memenangi perlawanan itu,” katanya pada Selasa.
Tambahnya dengan semua pemain dalam keadaan baik, beliau kemungkinan akan meletakkan Amir Jef Anjam di pintu gol dengan Mohd Haziq Jafry, Jeremie Jamie Limus, Mohd Iqba Roslan, Beckham Augustine di bahagian pertahanan.
Bahagian tengah akan membariskan A Alingatong, Mohd Ekhwandy Irwan, Rikwin Siroh dan Rexsondy Raymond, sementara Mohd Fadzriansyah Baharudin, Ramli Bony akan menerajui serangan.
Sementara itu, Sabah hanya berjaya seri tanpa jaringan dengan PDRM FC dalam perlawanan terakhir mereka sebelum rehat di Stadium Penampang pada 29 Mei.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

