
Kuala Lumpur – Bank Simpanan Nasional (BSN) menyertai acara Keretapi Sarong 2024 yang bertemakan ‘Bangga Malaysia’, yang diadakan pada hari ini bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-50 BSN dan Hari Malaysia.
Sebagai rakan kolaborasi Keretapi Sarong 2024, BSN telah mengambil bahagian dalam program ‘station take over’ dan memeriahkan suasana di stesen LRT Gombak dengan kehadiran 30 warga kerjanya yang dikenali sebagai SKUAD SARONG. Mereka turut disertai oleh selebriti jemputan, Hael Husaini, serta persembahan dari kumpulan buskers, pasukan kompang, dikir barat, silat, dan pelbagai aktiviti menarik termasuk kuiz dengan hadiah-hadiah eksklusif.
Sempena ulang tahun BSN yang ke-50, penyertaan ini juga merupakan penghargaan kepada 50 tahun khidmat BSN kepada komuniti di seluruh negara. Dalam acara ini, kami dengan bangga mempersembahkan evolusi pakaian seragam BSN daripada tahun 1980an sehingga kini, menonjolkan sejarah dan warisan yang kami bawa bersama selama lima dekad. Pakaian seragam BSN yang diperagakan mengetengahkan motif ikonik negara kita, Bunga Raya, yang juga merupakan bunga kebangsaan Malaysia. Pemakaian sarung yang melangkaui generasi ini turut diperkasakan dengan elemen bunga raya, menambahkan lagi simbol penting dalam acara tersebut.


SKUAD SARONG BSN bersama Hael Husaini menaiki tren dari stesen LRT Gombak menuju ke stesen LRT KLCC sebelum berarak ke destinasi terakhir di Kuala Lumpur. Keretapi Sarong 2024 dianjurkan oleh LOCCO, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bermula pada tahun 2012, melibatkan ribuan peserta menaiki pengangkutan awam dengan memakai kain sarung batik atau pelikat yang menjadi simbol kebudayaan dan warisan masyarakat berbilang kaum di Malaysia.



