SkyWorld Development catat untung bersih RM58.21 juta pada 4QFY23 didorong pengiktirafan hasil daripada enam projek
azan
04/07/2023 - 14:50
KUALA LUMPUR 4 Julai - SkyWorld Development Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM58.21 juta daripada hasil RM225.95 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23).
Kumpulan itu berkata, pendapatannya adalah daripada pengiktirafan hasil progresif daripada enam projek yang sedang berjalan dan jualan inventori yang telah siap terutamanya daripada SkyMeridien Residences.
Bagi tempoh terkumpul, syarikat itu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM144 juta dan hasil sebanyak RM841.41 juta.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif SkyWorld, Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, pihaknya berbangga dengan pencapaian itu dan menyifatkan ia tidak pernah berlaku sebelum ini dalam kepurusan kewangannya.
Katanya, SkyWorld telah melepasi semua rekod sebelumnya dan mencapai hasil tertinggi dan keuntungan bersihnya dalam sejarah syarikat.

"Pulangan atas ekuiti kami terus kekal kukuh kerana ia mencatatkan pada 27.9% untuk 2023.
"Pencapaian penting ini adalah bukti kerja keras, dedikasi, dan kepintaran pasukan kami yang luar biasa, serta sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada pemilik rumah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Skyworld berkata ia merancang untuk menggunakan RM100 juta yang diperuntukkan untuk pengambilan tanah bagi mengembangkan kehadirannya di luar Kuala Lumpur ke Selangor dan luar Malaysia.
Kumpulan itu secara aktif mencari tanah yang sesuai di Ho Chi Minh City untuk pembangunan sulungnya di luar Malaysia.
Bagi mengoptimumkan penggunaan sumber, kumpulan itu mula membina dua hartanah untuk disewa, iaitu Sama Square dan SkyBlox pada FY23 di Setapak, Kuala Lumpur.
Sama Square dan SkyBlox dijangka akan memulakan operasi pada separuh kedua FY24 dan menyumbang secara positif kepada kumpulan. - DagangNews.com


