Smart Asia Chemical, Keshun International bekerjasama hasilkan bahan kimia khusus bagi pasaran pembinaan Malaysia

16/05/2025 - 17:59
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 16 Mei – Smart Asia Chemical Bhd (SAC) meterai perjanjian usaha sama dengan Keshun International Construction and Trading Sdn Bhd, anak syarikat Keshun Waterproof Technologies Co., Ltd. (CKS) dari China, bagi membangunkan rumusan kalis air dan kimia pembinaan khusus untuk pasaran Malaysia.
Kedua-dua pihak akan melabur sehingga RM10 juta dalam dua syarikat usaha sama iaitu Smart CKS Manufacturing Sdn Bhd dan Smart CKS Marketing Sdn Bhd.
SAC akan memegang 51% kepentingan dalam Smart CKS Manufacturing dan 49% dalam Smart CKS Marketing, manakala baki pegangan masing-masing dimiliki oleh Keshun.
Ia mencerminkan kerjasama seimbang dalam pengeluaran dan penembusan pasaran.
Pengarah Urusan SAC, Goh Chye Hin berkata, usaha sama tersebut merupakan pencapaian penting dalam langkah SAC menembusi pasaran kalis air dan kimia binaan.
"Dengan gabungan kepakaran tempatan SAC dan inovasi global CKS, kami yakin mampu menawarkan rumusan kalis air berprestasi tinggi yang memenuhi keperluan industri pembinaan yang semakin berkembang di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.- DagangNews.com
standard
