
KUALA LUMPUR - Pasukan Khas Malaysia Disaster Assistance and Rescue Team (SMART) yang terdiri daripada 11 anggota berlepas ke Nepal hari ini bagi membantu operasi mencari dan menyelamat susulan bencana di negara berkenaan.
Pasukan itu berlepas dari Pangkalan Udara Subang kira-kira jam 9 pagi menggunakan pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Misi berkenaan diketuai Komander SMART, Abdul Manaf Che Isa, dengan penerbangan dijangka mengambil masa kira-kira lima jam.
Kementerian Luar (Wisma Putra) berkata pasukan itu dilengkapi dron berkapasiti tinggi serta peralatan khusus bagi menyokong operasi yang diketuai pihak berkuasa Nepal, khususnya di kawasan yang memerlukan kepakaran teknikal dan keupayaan operasi khusus.
Menurutnya, penugasan pasukan berkenaan tertakluk kepada keperluan operasi serta keadaan keselamatan di lokasi.
“Pasukan tambahan yang dikerahkan oleh kementerian juga telah tiba di Kathmandu dan membantu Kedutaan Malaysia dalam menyelaras dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan berhubung usaha mencari serta mengenal pasti rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.
“Ini termasuk penyelarasan penggunaan sampel DNA bagi tujuan pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Di Malaysia, persiapan bagi proses pengenalan turut sedang dijalankan termasuk pengambilan dan analisis sampel DNA daripada waris terdekat oleh polis dan Jabatan Kimia Malaysia dengan kerjasama kementerian.
Setakat Jumaat, rekod semasa kementerian menunjukkan seramai 55 rakyat Malaysia masih dilaporkan belum dapat dihubungi.
“Kementerian terus berhubung secara langsung dengan waris terdekat mereka dan akan memberikan perkembangan terkini apabila usaha mencari, pengesahan serta tindakan berkaitan terus dijalankan.
“Maklumat berhubung kes individu terus disampaikan secara langsung kepada keluarga, manakala kemas kini kepada umum hanya tertumpu kepada perkembangan yang telah disahkan dan boleh dikongsi secara meluas,” katanya.
Wisma Putra turut meneruskan usaha mendapatkan pengesahan melalui saluran diplomatik dengan Kerajaan China berhubung kemungkinan pertindihan laporan mengenai rakyat Malaysia yang berada di Nepal dengan mereka yang berada di Tibet, China.
Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk menyediakan kepakaran mencari dan menyelamat yang bersesuaian sekiranya diperlukan oleh pihak berkuasa China. - Getaran, 5 September 2026






