
SUBANG – Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berlepas ke Nepal pagi ini bagi menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), dengan tumpuan diberikan di kawasan terakhir rakyat Malaysia dipercayai berada.
Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Meor Ismail Meor Akim berkata, seramai 11 anggota SMART termasuk seorang komander digerakkan dalam misi kemanusiaan itu selepas mendapat kelulusan kerajaan Nepal.
“Dalam operasi mencari ini kita tidak kira siapa sahaja mangsa, kita akan selamatkan. Siapa yang ditemui kita akan selamatkan sebab kita tidak tahu rakyat kita berada di mana.
“Tapi tumpuan kita adalah kawasan terakhir rakyat kita. Itu tumpuan. Keutamaan kita mestilah rakyat kita,” katanya pada Majlis Pelepasan Pasukan SMART di Pangkalan Udara TUDM Subang, hari ini.
Menurut Meor Ismail, operasi itu dijangka berlangsung selama 10 hari bermula hari ini dengan pasukan berkenaan diterbangkan menggunakan pesawat A400M Atlas milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Katanya, pasukan diketuai Komander Kontinjen, Pg KB 1 Abdul Manaf Che Isa bersama 10 pegawai dan anggota yang mempunyai pelbagai kepakaran termasuk mencari dan menyelamat, operasi dron, logistik, komunikasi serta sokongan teknikal.
“Kita turut membawa pelbagai peralatan dengan berat keseluruhan 12.4 tan termasuk peralatan menyelamat, alat pengesan, sistem komunikasi, dron berkapasiti tinggi, peralatan khas menyelamat terowong, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah trak muatan 10 tan,” katanya.
Meor Ismail berkata, lokasi sebenar penugasan SMART masih belum ditetapkan dan hanya akan diketahui sebaik pasukan tiba di Nepal, namun mereka diberi gambaran kemungkinan digerakkan ke kawasan terowong.
“Selepas tiba, mereka akan disambut wakil Malaysia dan diberikan taklimat mengenai keadaan semasa sebelum pihak berkuasa Nepal memberi taklimat pengoperasian,” katanya.
Sementara itu, Abdul Manaf berkata, misi SMART kali ini jelas berteraskan kemanusiaan dengan pasukan turut membawa kelengkapan komunikasi, perubatan dan kesihatan selain peralatan khusus bagi persediaan operasi menyelamat terowong.
Dalam pada itu, Meor Ismail merakamkan penghargaan kepada TUDM atas kerjasama menyediakan pengangkutan udara selain Kementerian Luar Negeri (KLN) yang membantu menguruskan kelulusan bagi membolehkan SMART menjalankan operasi di Nepal.
Misi itu turut melibatkan 31 kru TUDM dengan Leftenan Kolonel Phanom a/l Achuan bertindak sebagai Komander Misi bagi penerbangan berkenaan.- KOSMO! ONLINE
The post SMART terbang ke Nepal, tumpu lokasi terakhir rakyat Malaysia appeared first on Kosmo Digital.





