
Inisiatif pemasangan 27 unit Smart TV di Sekolah Kebangsaan (SK) Ibrahim, Sungai Petani, Kedah, dilihat mampu mengatasi isu ketiadaan guru dalam kelas.
Menurut Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Muda/Yan, Ishak Zulkifli, dengan adanya Smart TV ini, ia membantu membudayakan pendigitalan dalam pembelajaran sekali gus melindungi masa instruksional (MMI).
Katanya, sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) juga boleh dilaksanakan di mana-mana sahaja termasuklah di rumah sekiranya guru tidak sihat untuk ke sekolah.
“MMI adalah masa sebenar yang digunakan bagi pelaksanaan PdP yang berkesan tanpa gangguan.
“Jadi tidak akan timbul isu guru tiada di dalam kelas kerana guru boleh mengajar di mana-mana sahaja dengan penggunaan Smart TV,” ujarnya pada majlis Pelancaran Smart TV di sekolah berkenaan, baru-baru ini.
Sementara itu, Guru Besar sekolah terbabit, Rahmat Abd Rahim memaklumkan, kesemua 27 unit Smart TV yang dipasang di setiap kelas, surau, bilik pemulihan serta dewan utama bernilai RM70,000 yang merupakan inisiatif daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Beliau memberitahu, cadangan projek pemasangan Smart TV itu bermula selepas pandemik Covid-19 melalui kutipan wang Program Larian SKI Fun’ d Run yang mana lapan unit mula dipasang bagi kelas Tahun Satu dan Dua.
“Program terbabit kemudiannya diteruskan bersama beberapa pihak berkepentingan yang telah berjaya mengumpul dana sehingga semua kelas berjaya dipasangkan Smart TV.
“Ini dilihat membantu menjimatkan masa, memudahkan guru, membantu murid memahami setiap tajuk dengan lebih jelas serta lebih interaktif dengan komunikasi dua hala.
“Bukan itu sahaja, penghayatan pembelajaran juga lebih menyeronokkan selain dapat meningkatkan kemahiran guru dan pencapaian murid dengan adanya alat bantuan digital berkenaan,” tuturnya.
