SMD Semiconductor perkenal cip GaN tempatan

Business & Finance
5 Oct 2026 • 4:18 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SMD Semiconductor perkenal cip GaN tempatan

KUCHING: SMD Semiconductor Sdn. Bhd. memperkenalkan keteq.GaN, cip semikonduktor kuasa Gallium Nitride (GaN) pertama yang direka bentuk secara tempatan, bagi menyokong pembangunan infrastruktur kecerdasan buatan (AI) generasi baharu, tenaga boleh baharu dan sistem kuasa pintar.

Modul kuasa keteq.GaN itu dilancarkan sempena pembukaan International Digital Economy Conference Sarawak (IDECS) 2026, sekali gus mencerminkan langkah Sarawak beralih kepada pembangunan teknologi bernilai tinggi dan pemilikan harta intelek tempatan.

Pelancaran modul berkenaan disempurnakan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang membawa mesej “Designed in Sarawak. Built for the World.” keteq.GaN dibangunkan untuk aplikasi elektronik kuasa generasi baharu meliputi infrastruktur AI, tenaga boleh baharu, sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS), grid pintar serta pengubah keadaan pepejal generasi akan datang.

Abang Johari berkata, pembangunan keteq.GaN mencerminkan perubahan penting dalam kedudukan Sarawak dalam rantaian nilai semikonduktor apabila negeri itu mula memanfaatkan kekuatan dalam tenaga dan pembuatan semikonduktor untuk membangunkan teknologi serta harta intelek sendiri.

“Sarawak telah bertahun-tahun membina asas bermula daripada sumber tenaga dan keupayaan perindustrian kepada pembuatan semikonduktor serta pembangunan bakat.

“Apa yang kita lihat hari ini ialah langkah seterusnya dalam perjalanan itu, iaitu keupayaan membangunkan teknologi semikonduktor di sini dan mencipta harta intelek yang berasal dari Sarawak,” katanya sempena Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak (IDECS) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.

Pembangunan teknologi itu hanya mengambil masa empat tahun selepas SMD Semiconductor ditubuhkan pada 2022, sekali gus menandakan perkembangan syarikat daripada membina keupayaan semikonduktor kepada mereka bentuk dan melancarkan cip GaN sendiri.

Lebih penting, keteq.GaN mencerminkan langkah SMD Semiconductor memasuki segmen teknologi semikonduktor bernilai tinggi dengan membangunkan serta memiliki teknologi dan harta intelek sendiri, sebelum dibawa ke aplikasi industri dan pasaran di luar Sarawak.

Beliau berkata, tumpuan seterusnya adalah memastikan keupayaan yang semakin berkembang itu diterjemahkan kepada aktiviti ekonomi dan perindustrian bernilai tinggi untuk Sarawak.

Menurutnya, keteq.GaN menyediakan asas kukuh untuk Sarawak bergerak melangkaui peranan sebagai sebahagian daripada rantaian pembuatan kepada penghasilan teknologi sendiri yang berpotensi memenuhi keperluan industri dan pasaran antarabangsa.

“Teknologi Gallium Nitride (GaN) ialah teknologi semikonduktor wide-bandgap yang semakin digunakan dalam elektronik kuasa, khususnya bagi meningkatkan kecekapan, ketumpatan kuasa dan pengurusan tenaga.

“Perkembangan infrastruktur digital serta sistem tenaga yang semakin teragih dan pintar turut meningkatkan kepentingan semikonduktor kuasa dalam proses menukar, mengurus dan menyalurkan tenaga elektrik.

“Bagi keteq.GaN, tumpuan aplikasi termasuk infrastruktur kuasa AI, tenaga boleh baharu, BESS, grid pintar, infrastruktur grid generasi baharu serta penyelesaian tahan radiasi untuk aplikasi angkasa,” katanya.

Menurut beliau, perkembangan itu juga memperlihatkan hubungan semakin rapat antara kekuatan Sarawak dalam sektor tenaga dengan keupayaan semikonduktornya.

“Ketika sistem tenaga menjadi semakin digital, teragih dan pintar, teknologi yang membolehkan tenaga ditukar, disimpan dan diurus secara lebih cekap dijangka semakin penting.

“Keadaan itu membuka peluang kepada Sarawak untuk bukan sahaja membangunkan teknologi berkaitan penjanaan tenaga, tetapi turut menguasai sistem dan elektronik kuasa yang menyokong penggunaan serta pengurusan tenaga,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi SMD Semiconductor merangkap Setiausaha Kewangan Negeri Sarawak, Datuk Seri Dr. Wan Lizozman Wan Omar berkata, pelancaran itu menjadi satu lagi pencapaian dalam perkembangan pesat syarikat sejak ditubuhkan empat tahun lalu.

Katanya, fokus selepas ini adalah memastikan teknologi yang dibangunkan di Sarawak tidak terhenti pada peringkat reka bentuk, sebaliknya dapat diaplikasikan dalam keperluan industri sebenar.

“keteq.GaN adalah langkah penting untuk SMD, tetapi apa yang lebih penting sekarang ialah bagaimana kita memanfaatkan keupayaan itu.

“Kita mahu melihat teknologi yang dibangunkan di sini bergerak melangkaui peringkat reka bentuk dan digunakan dalam aplikasi sebenar, sekali gus mencipta nilai bukan sahaja untuk SMD, tetapi juga industri semikonduktor Sarawak secara keseluruhan,” katanya.- UTUSAN

The post SMD Semiconductor perkenal cip GaN tempatan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved