SME Bank Jana Potensi Jualan Eksport RM125 Juta Di Afrika Selatan Dan Kenya

LocalBusiness & Finance
10 Sep 2025 • 3:58 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

SME Bank Jana Potensi Jualan Eksport RM125 Juta Di Afrika Selatan Dan Kenya

 

Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (“SME Bank”), anak syarikat Bank Pembangunan Malaysia Berhad (“BPMB”), telah berjaya melaksanakan Export Acceleration Mission (“EAM”) terbaharu ke Afrika Selatan dan Kenya, sekali gus menandakan penerokaan SME Bank buat julung kalinya ke pasaran berpotensi tinggi. Inisiatif tersebut membawa bersama 11 usahawan Malaysia dan berjaya menjana potensi jualan eksport sebanyak RM125 juta, serta menampilkan kepakaran dalam sektor penjagaan kesihatan, peranti perubatan, makanan dan minuman, produk pengguna serta pembuatan khusus.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Samad Majid Zain berkata, “Sejak 2023, lebih daripada 100 syarikat Malaysia telah menyertai EAM dengan menjana potensi jualan eksport bernilai RM439 juta. Ini mencerminkan pertumbuhan yang konsisten, meningkat daripada RM113 juta pada 2023 kepada RM160 juta pada 2024 dan RM166 juta pada 2025, sekali gus membuktikan daya saing syarikat Malaysia yang semakin meningkat di peringkat antarabangsa.”

“EAM memberi peluang kepada PKS untuk berkembang di persada global dalam pasaran seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Timur Tengah, Turkiye, Jepun, Thailand dan Filipina, di samping mengukuhkan kerjasama dengan Afrika Selatan dan Kenya. Diterajui oleh SME Bank dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (“MATRADE”) serta sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (“KUSKOP”), EAM berfungsi sebagai pemangkin untuk melonjak pertumbuhan keusahawanan dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab inovasi dan perdagangan global,” jelas Samad Majid Zain.

Berlangsung dari 30 Ogos hingga 6 September 2025 di Johannesburg, Afrika Selatan dan Nairobi, Kenya, EAM telah membuka peluang kepada PKS Malaysia untuk menembusi pasaran baharu melalui seminar perniagaan, sesi padanan perniagaan, sesi libat urus, serta lawatan industri. Inisiatif ini diketuai oleh Pengerusi MATRADE, Dato’ Seri Reezal Merican Naina Merican dengan penglibatan Ketua Pegawai Strategi Korporat SME Bank, Datuk Wira Dr. Mohammad Hardee Ibrahim serta sokongan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Afrika Selatan dan Kenya.

Program selama seminggu itu, turut memetrai satu perjanjian kerjasama penting antara Star Medik Group dari Malaysia dan ICRD Group Holding (PTY) Ltd dari Afrika Selatan, yang bakal membuka jalan kepada kerjasama yang lebih erat dalam sektor pembuatan peranti perubatan di Afrika Selatan. EAM juga menampilkan kepelbagaian keusahawanan Malaysia melalui penyertaan PKS berpotensi tinggi termasuk Pawa Canning Corporation, Caliphs Global, Callabio Manufacturing, Integrasi Global, Imperia Asia International, Ideal Health Care, Star Medik, Selia-Tek Holdings, BS Fitness Nutrienion, NIMS Adeliciousz, dan Avecena Gloves.

image is not available

SME Bank terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan global PKS Malaysia melalui pelbagai inisiatif pembangunan kapasiti. Melengkapi EAM ialah Program Eksport Perniagaan (“BEP”), iaitu program intervensi berstruktur yang dibiayai oleh KUSKOP dengan kerjasama MATRADE bagi mempercepatkan proses antarabangsa PKS.

Sejak dilancarkan pada 2020, BEP telah menyalurkan dana berjumlah RM21.5 juta merangkumi lima fasa sehingga 2025, melengkapkan 98 PKS berprestasi tinggi dengan latihan berstruktur, strategi kemasukan pasaran yang disesuaikan serta peluang pertumbuhan baharu. Secara keseluruhan, syarikat-syarikat tersebut telah menjana jualan eksport bernilai RM419 juta di Asia Tenggara, Emiriah Arab Bersatu, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Selain itu, SME Bank turut memperkukuh pembangunan perniagaan halal melalui Program Pembangunan Keusahawanan Halal dengan peruntukan dana sebanyak RM14.84 juta yang telah memberi manfaat kepada hampir 800 PKS. Secara keseluruhan, EAM, BEP dan Program Pembangunan Keusahawanan Halal mencerminkan komitmen menyeluruh Kerajaan dalam membantu PKS Malaysia meneroka pasaran baharu dan berjaya di peringkat antarabangsa.

Untuk maklumat lanjut mengenai SME Bank dan program pembangunan kapasiti yang yang ditawarkan, layari http://www.smebank.com.my atau hubungi 03-2603 7700.

View Original Article