
SHAH ALAM, 30 JUN: Selangor Maritime Gateway (SMG) menyasarkan 1,000 sukarelawan untuk menyertai program pembersihan mega paya bakau di Sungai Klang yang akan berlangsung pada 26 Julai ini.
Program dikenali SMG Mega Mangrove Cleanup 2026 itu diadakan sempena Hari Paya Bakau Sedunia di Mangrove Point, Pelabuhan Klang bermula jam 7.30 pagi.
SMG menerusi Facebook berkata, program berkenaan bakal menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai penyertaan pembersihan paya bakau paling ramai di Malaysia.
Katanya, penyertaan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, komuniti, pencinta alam sekitar dan sukarelawan korporat.

“Sama ada anda pelajar, warga komuniti, pencinta alam sekitar, sukarelawan korporat atau sekadar seseorang yang ingin membuat perubahan, penyertaan anda amat bermakna.
“Setiap pendaftaran membawa kita selangkah lebih dekat untuk mencipta rekod kebangsaan baharu. Ini adalah peluang anda untuk meninggalkan impak yang berkekalan terhadap alam sekitar dan sejarah negara kita,” katanya.
Menurut SMG, penyertaan sukarelawan adalah percuma dan ia dibuka sehingga 12 Julai ini atau sehingga jumlah sasaran slot tercapai.
Pendaftaran boleh dibuat menerusi kod respon pantas (kod QR) di poster dan sukarelawan juga akan menerima sijil penyertaan elektronik selain sarapan turut disediakan.
Program yang diadakan sempena Hari Paya Bakau Sedunia itu dijadual berlangsung di Mangrove Point, Pelabuhan Klang bermula jam 7.30 pagi.

