
Kota Kinabalu: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy) mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM362 juta berdasarkan keputusan kewangan belum diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2024, meningkat hampir 40 peratus daripada RM259 juta pada 2023.
Prestasi memberangsangkan ini menunjukkan ketahanan dan asas kukuh syarikat tersebut, yang dicapai walaupun dalam landskap tenaga global yang tidak menentu. Pertumbuhan ini didorong oleh pengoptimuman aset secara strategik, pengurusan kos yang berdisiplin dan pertumbuhan hasil yang berterusan.
Pendapatan bagi tahun tersebut mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun sebelumnya, disokong oleh sumbangan kukuh daripada aset utama seperti Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang, loji pencairan LNG Train 9, Petronas Chemical Fertiliser Sabah Sdn Bhd (PCFSSB, serta operasi Floating Production Storage and Offloading (FPSO) dan Floating Storage Operations (FSO) di bawah Sabah International Petroleum (SIP), yang kekal bebas hutang.
Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun, yang juga Pengerusi SMJ Energy, menyifatkan pencapaian ini hasil dedikasi dan profesionalisme pasukan syarikat tersebut, dengan kerjasama erat pihak berkepentingan utama termasuk Petronas.
“Dengan portfolio yang seimbang merangkumi segmen Huluan, LNG, Petrokimia dan FPSO/FSO, SMJ Energy berada dalam kedudukan baik untuk mengekalkan kekuatan kewangan walaupun dalam persekitaran harga minyak yang rendah,” katanya.
Bagaimanapun, Masidi menggesa agar terus berwaspada dalam menghadapi ketidaktentuan ekonomi global, termasuk konflik tarif yang berterusan dan turun naik harga minyak.
“Ketidaktentuan dalam pasaran minyak global menyerlahkan kepentingan pengurusan risiko secara proaktif dan strategi pelaburan yang berhemah,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Selain keuntungan, SMJ Energy turut memainkan peranan aktif dalam memperkukuh penyertaan tempatan dalam sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sabah.
Pada 2024, jumlah nilai kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Sabah meningkat kepada RM2 bilion, satu lonjakan besar daripada RM613 juta pada 2021, tanpa menjejaskan kos, keselamatan, kualiti atau jadual projek.
