SMK Merbau rangkul Toilet of The Year Award 2024! ‘Cantiknya tandas, patutlah mereka menang’

LocalPolitics
20 Nov 2024 • 12:20 PM MYT
Sinar Bestari
Sinar Bestari

Portal Pilihan Guru-Pelajar-Sekolah serta IPTA/IPTS

image is not available
Tandas SMK Merbau yang bersih, wangi, selesa dan luas hingga diumum pemenang utama Toilet of The Year Award 2024 kategori sekolah.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri, Sarawak diumum pemenang utama dalam Toilet of The Year Award 2024 (TOTYA‘24) kategori sekolah yang berlangsung di Sheraton Imperial Hotel Kuala Lumpur Khamis lalu.

Kemenangan yang diraih itu secara tidak langsung mengangkat nama SMK Merbau ke tahap membanggakan sekali gus membuktikan sekolah dari Sarawak bukan calang-calang.

Facebook SMK Merbau, Miri merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dalam pertandingan itu.

"Terima kasih kepada penganjur KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Miri atas sokongan padu dan kepercayaan yang diberikan kepada SMK Merbau untuk mewakili daerah Miri dan Sarawak dalam TOTYA‘24.

Terima kasih juga kepada seluruh warga SMK Merbau termasuk PIBG (Persatuan Ibu Bapa Guru), guru, staf sokongan, ibu bapa, pelajar, pembersih kawasan sekolah dan komuniti setempat.

image is not available

Turut tidak ketinggalan, kerajaan dan KPM (Kementerian Pendidikan Malaysia) atas peruntukan yang diberi kepada sekolah untuk menaik taraf tandas sekolah.

Semoga pengiktirafan dan penganugerahan ini akan menyuntik semangat yang lebih tinggi kepada warga sekolah untuk menjadikan tandas SMK Merbau lebih bersih, ceria dan selamat untuk anak-anak didik," catat admin Facebook.

Terdahulu, TOTYA‘24 yang dianjurkan KPKT melalui Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang betapa pentingnya menjaga kebersihan tandas serta memberikan pengiktirafan kepada tandas-tandas awam milik swasta dalam usaha mereka menyediakan tandas bertaraf Bersih, Menawan dan Wangi (BMW).

Ia mempertandingkan tujuh kategori tandas awam iaitu Pihak Berkuasa Tempatan, Sekolah, Hotel, Restoran, Konsesi Lebuhraya bagi kawasan Rehat dan Rawat (R&R), Stesen Minyak dan Pusat Beli Belah.

image is not available

Berikut disenaraikan pemenang bagi setiap kategori

1) Pihak Berkuasa Tempatan: Tandas Awam MITC Melaka

2) Sekolah: SMK Merbau

3) Hotel: Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur

4) Restoran: Andaman Seafood Village, Kuala Lumpur

5) Konsesi Lebuhraya bagi kawasan R&R: Machap Arah Utara

6) Stesen Minyak: BHPetrol Ladang Bikam, Perak

7) Pusat Beli Belah: Sunway Carnival Mall, Pulau Pinang

image is not available

Sementara itu, Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Chung Kwok, Kuala Lumpur dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Randok, Ajil, Hulu Terengganu, Terengganu telah diumum pemenang saguhati dalam kategori sekolah di TOTYA‘24.