
NABAWAN: Pusat Tingkatan Enam (PTEM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan mencatatkan kelulusan 100 peratus dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2025 sekali gus membuktikan peningkatan prestasi pendidikan di kawasan pedalaman.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata pencapaian itu turut menyumbang kepada peningkatan Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) sekolah sebanyak 0.41.
“Kejayaan berkenaan mencerminkan keberkesanan kerjasama antara pentadbiran sekolah, guru dan komuniti ibu bapa dalam memperkasakan agenda pendidikan di daerah Nabawan.
“Pencapaian ini amat membanggakan dan menunjukkan bahawa pelajar di kawasan pedalaman juga mampu mencapai kecemerlangan sekiranya diberikan sokongan dan kemudahan yang sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Anugerah Kecemerlangan Peperiksaan STPM dan Muet Tahun 2025 serta Penyerahan Sumbangan Smart TV di Dewan Kalawon, Sekolah Kebangsaan (SK) Nabawan.
Dalam majlis itu Arthur yang juga Ahli Parlimen Pensiangan menyampaikan insentif tunai kepada 27 pelajar STPM cemerlang.
Menerusi jumlah berkenaan seramai 14 pelajar memperoleh PNGK 3.00 hingga 3.29, lapan pelajar mencatat PNGK 3.30 hingga 3.49, manakala lima pelajar memperoleh PNGK 3.50 hingga 3.99.
Seramai 12 pelajar pula memperoleh Band 4 dan ke atas dalam ujian MUET turut menerima insentif RM100 seorang.
Selain itu sebanyak 26 unit Smart TV disumbangkan kepada PTEM SMK Nabawan dan sekolah-sekolah berdekatan bagi menyokong usaha pemodenan infrastruktur pendidikan luar bandar.
Kemudahan tersebut dijangka membantu meningkatkan keberkesanan penyampaian maklumat serta interaksi dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (PdP).
Arthur berkata komitmen terhadap pembangunan pendidikan pedalaman turut diteruskan menerusi pembinaan bangunan baharu PTEM SMK Nabawan yang mula dibangunkan pada 2023.
Bangunan berkenaan merupakan pusat Tingkatan Enam pertama diwujudkan di daerah Nabawan dan kini menempatkan 293 pelajar serta dilengkapi fasiliti moden.
Menurutnya pembangunan tersebut selaras dengan fokus Pelan Pembangunan Bangsa dan Daerah Pensiangan bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif serta memperkukuh pengurusan pendidikan di kawasan luar bandar.



