
PENYANDANG juara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam berpeluang mempertahankan kejuaraan Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) Tahun apabila melangkah ke perlawanan akhir pada Selasa.
Skuad kendalian, Osmera Omaro mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menjinakkan SMK Bukit Kapar bimbingan Hasrul Rasyid Harith, 2-1 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28, Shah Alam.
Anak buah Osmera sebelum ini merangkul Piala Sumbangsih trofi pembuka tirai Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas menewaskan SMK Darul Ehsan, Batu Caves, 2-0 di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) SMK USJ 23 Subang Jaya, 11 November lalu.
**media[2923731]**
Sebagai rekod, edisi 2023, SMK Shah Alam muncul juara selepas menewaskan SMK Meru, 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Pasukan yang berpangkalan di Shah Alam itu kemudian mendakap Piala Sumbangsih Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 apabila menjinakkan SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang, 1-0 di padang sintetik MBSA, Seksyen 19, Shah Alam.
Kemenangan itu membolehkan SMK Shah Alam berentap SMK Tinggi Kajang, Kajang dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ pada Isnin depan.
**media[2923732]**
SMK Tinggi Kajang bimbingan Mohamad Hafizudin Sulaiman mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi SMK Jalan Tiga, kendalian Muhammad Amir Mua'ainue Deen 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, Shah Alam.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik SMK Tinggi Kajang dalam saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 adalah tempat ketiga edisi 2018.


