SMK Trus Madi siap sepenuhnya, operasi Januari depan

20 Nov 2025 • 9:27 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SMK Trus Madi di Sook siap sepenuhnya dengan kos RM51 juta, mula operasi Januari depan, dilengkapi kemudahan moden untuk 832 murid

SOOK: Sekolah Menengah Kebangsaan Trus Madi yang terletak kira-kira 120 kilometer dari Pekan Keningau telah siap sepenuhnya dan dijadual memulakan operasi pada Januari tahun hadapan.

Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Wan Hashim Wan Rahim berkata projek bernilai lebih RM51 juta itu telah menerima Sijil Penyiapan Kerja pada 19 November lepas.

Beliau menyatakan projek yang dilaksanakan oleh Zon Sabah dan Labuan itu diluluskan pembinaannya pada 2014 dengan pembinaan dimulakan pada 2017.

“Reka bentuk kondusif dan selesa memberi impak positif kepada pelajar serta guru,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Bangunan SMK Trus Madi.

SMK Trus Madi dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk blok pentadbiran, blok bilik darjah, blok makmal, dewan serbaguna, dan asrama lelaki serta perempuan.

Setiap asrama mempunyai kapasiti 200 pelajar dengan kemudahan lengkap termasuk kuarters guru, padang bola, surau dan sistem utiliti.

Wan Hashim berkata pembinaan sekolah baharu itu memberi manfaat kepada 832 murid dari enam sekolah rendah berhampiran.

Seramai 116 murid Tahun 6 akan melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di sekolah tersebut.

“Dengan kemudahan yang lebih selesa dan selamat, para guru dapat mengajar dengan lebih berkesan, manakala murid dapat belajar dalam suasana kondusif.”

Beliau menegaskan projek tersebut merupakan pelaburan besar kerajaan dalam pendidikan dengan nilai kontrak semasa RM38,094,669.

Kos keseluruhan projek melebihi RM51 juta, mencerminkan kesungguhan kerajaan memastikan akses pendidikan berkualiti.

Dalam perkembangan lain, Wan Hashim berkata sebanyak 389 projek pembangunan semula sekolah daif sedang dilaksanakan di seluruh Sabah.

Seramai 236 projek telah siap, 64 dalam pembinaan dan 89 lagi dalam proses prabina.

“Kita menjangkakan semua projek berkenaan dapat disiapkan dalam tempoh satu hingga dua tahun.”

Katanya sebanyak 776 sekolah di Sabah mempunyai bangunan daif pada skala 7 dan berstatus 50 tahun ke atas yang memerlukan perhatian khusus kementerian. – Bernama