Cip Snapdragon X2 Elite dan X2 Elite Extreme telah dilancarkan secara rasmi sebentar tadi dengan tiga varian dan meneruskan usaha Qualcimm menghasilkan cip khusus untuk PC berasaskan ARM. Ia dilengkapi sehingga 18 teras CPU Qualcomm Oryon Gen 3 berkelajuan sehingga 4.4 GHz dengan sehingga 12 daripadanya adalah teras utama berkuasa tinggi. Teras ini kemudiannya boleh dilewah jam sehingga 5.0 GHz apabila diperlukan untuk tugasan lebih intensif.

X Elite dihasilkan menerusi teknologi 3nm dan CPU Oryon tadi dipadankan dengan GPU Adreno generasi baharu yang membolehkan pelbagai pemua PC baharu dijalankan pada tetapan tinggi. Siri X2 Elite tahun jni menawarkan peningkatan CPU satu teras sehingga 39%, peningkatan CPU multi teras sehingga 50%, peningkatan kemampuan GPU sehingga 2.3X dan NPU pula meningkat sehingga 78% berbanding siri X Elite tahun lalu.

Qualcomm memberikan tumpuan kepada kemampuan memproses kecerdasan buatan (AI) terus pada peranti menerusi X Elite. Oleh itu NPU Qualcomm Hexagon dengan kemampuan 80 TOPS disertakan dengan ia hampir dua kali ganda lebih berkuasa berbanding 45 TOPS pada mode tahun lalu. Menurut Qualcomm ini sekaligus menjadikan siri X2 Elite cip pemproses dengan kemampuan AI paling berkuasa untuk komputer riba.

Di atas pentas kemampuan CPU adalah sehingga 44% lebih tinggi daripada pesaing dengan penggunaan kuasa yang setanding. Pada kuasa puncak pula, pesaing memerlukan 144% lebih banyak kuasa. Sementara kuasa NPU X2 Elite adalah hampir 2 kali ganda Apple M4 dalam ujian Procyon AI dan sehingga 5.7 kali ganda berbanding Intel Core Ultra 9 285H.


Sebagai cip untuk komputer riba, ia menyokong skrin 4K 120FPS dengan HDR10 atau sambungan sehingga tiga monitor 5K 60FPS. Sistem USB-4 turut disokong bersama dengan memori LPDDR5x, storan UFS 4.0, bluetooth 5.4, WiFi 7, dan kamera 36MP. Menerusi modem Snapdragon X75 5G, sambungan kepada rangkaian 5G Sub-6GHz dan mmWave turut boleh dilakukan secara terbina dengan kelajuan muat turun sehingga 10 Gbps.

Masih tiada maklumat bilakah komputer riba pertama menggunakan Snapdragon Elite X2 akan dipasarkan tetapi jika mengikut jadual tahun lalu, ia pastinya akan tiba sekitar awal 2026.


