
Kota Kinabalu: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) kini hampir dipenuhi pelabur termasuk syarikat gergasi Esteel Sabah Sdn Bhd (Esteel) yang melabur sehingga RM31 bilion dalam sektor hiliran minyak dan gas negeri.
Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) Datuk Harun Ismail berkata kerja-kerja awal bagi projek Esteel sudah bermula dengan fasa pertama dianggarkan bernilai sekitar RM7 bilion.
“Kita sudah menandatangani perjanjian untuk ketiga-tiga fasa projek ini dan kerja-kerja awal seperti pembersihan tapak sedang berjalan.
”Perkembangan positif ini menunjukkan peranan penting Sogip sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah dalam sektor strategik minyak dan gas.
“Beberapa pelabur lain kini sedang dalam peringkat rundingan dengan SOGDC bagi mengembangkan lagi aktiviti industri di kawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui media selepas kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Tun Musa Aman pada Selasa.
Kunjungan itu diadakan bagi memaklumkan persaraan Harun selepas hampir 40 tahun berkhidmat dalam sektor tenaga serta pelantikan Mohd Azmir Ramli sebagai CEO SOGDC berkuat kuasa 16 September, tahun ini.
Harun juga memaklumkan pengiktirafan Sipitang sebagai Port Limit sepenuhnya turut memberikan kelebihan besar dari segi logistik dan keupayaan pelabuhan, sekali gus menjadikan Sogip lebih kompetitif berbanding kawasan perindustrian lain di negara ini.
“Di kawasan lain, Port Limit hanya terhad kepada harbour limits tetapi di Sipitang ia merangkumi sempadan ke sempadan hingga ke laut. Ini pertama kali kita perolehi di Sabah,” katanya.
Mengulas mengenai Belanjawan 2026, Harun berkata peruntukan pembangunan persekutuan yang meningkat kepada RM6.9 bilion untuk Sabah menunjukkan perkembangan positif.
Katanya, tambahan peruntukan itu akan terus memperkukuh keupayaan negeri dalam menyediakan kemudahan dan infrastruktur untuk rakyat sekali gus memperkukuh sokongan terhadap kerajaan sedia ada.
