Sogip mampu jadi pemacu agenda Sabah First: Ewon

LocalBusiness & Finance
15 Dec 2025 • 4:59 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SIPITANG: Timbalan Ketua Menteri III Datuk Ewon Benedick (gambar) yakin Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (Sogip) mampu menjadi pemacu utama kepada agenda Sabah First, khususnya dalam menjana peluang pekerjaan dan meningkatkan pendapatan rakyat Sabah.

Beliau yang juga Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata berdasarkan taklimat daripada Sabah Oil & Gas Development Corporation Sdn. Bhd. (SOGDC), kira-kira 90 peratus daripada keseluruhan kawasan Sogip dikomitmenkan kepada pelaburan yang telah mendapat kelulusan.

“Ini jelas menunjukkan keyakinan tinggi pelabur terhadap potensi kawasan perindustrian Sogip.

“Saya amat yakin Sogip bukan sahaja akan menyumbang hasil kepada Kerajaan Negeri, malah menyediakan peluang pekerjaan yang sangat besar kepada rakyat Sabah, khususnya graduan tempatan dan penduduk di Sipitang,” katanya.

Ewon mengadakan lawatan kerja ke Sogip bagi meninjau perkembangan taman perindustrian gas dan minyak yang diuruskan oleh SOGDC, sebuah agensi di bawah seliaan Kementerian Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan.

Beliau yakin beberapa lagi pelaburan yang telah diluluskan akan memulakan projek masing-masing di Sogip pada awal tahun hadapan, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sogip sebagai hab industri strategik negeri.

“Saya percaya SOGDC akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah yang berpendapatan melalui pelaburan dan perusahaan berimpak tinggi yang sedang dan akan dilaksanakan di Sogip.

“Saya turut berkongsi wawasan serta hala tuju kementerian dan berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada semua pemegang taruh, termasuk merealisasikan unjuran pembayaran dividen kepada Kerajaan Negeri Sabah,” katanya.

Terdahulu, beliau menyempurnakan upacara ringkas pecah tanah bagi pembangunan Fasiliti Pengurusan Sisa Terjadual oleh E-Concern Borneo yang melibatkan pelaburan keseluruhan sekitar RM1.1 bilion, dilaksanakan secara berfasa merangkumi empat fasa.

Beliau kemudian melawat dan meninjau pelaksanaan pelaburan Esteel di Sogip yang melibatkan nilai pelaburan keseluruhan sekitar RM31 bilion, menjadikannya antara pelaburan industri terbesar ketika ini.

Ewon turut dibawa meninjau pelaksanaan projek jeti persendirian Esteel, yang merupakan komponen penting dalam keseluruhan rantaian industri syarikat berkenaan dan kini sedang giat dilaksanakan, selain dimaklumkan mengenai keperluan tambahan kawasan bagi fasa pelaburan seterusnya.

Selain itu, Ewon turut mengadakan kunjungan ke pejabat projek PFLNG 3 di Sogip dan diberikan taklimat mengenai operasi Petronas di sana termasuk perkembangan projek PFLNG 3, dan Sipitang Utilities yang sedang dalam pembinaan, serta operasi Petronas Chemicals Fertiliser (Samur) Beliau juga melawat tapak projek MOLF oleh Sogip Port Sdn. Bhd. serta projek Petroventure Energy Sdn. Bhd., dan menerima taklimat daripada ketua pegawai eksekutif masing-masing.

“Saya amat yakin SOGDC akan terus menyumbang kepada pembangunan rakyat Sabah yang berpendapatan melalui pelaburan dan perusahaan berimpak tinggi di Sogip.

“Saya juga berharap pasukan Sabah First di SOGDC terus diperkasakan demi memastikan perkhidmatan terbaik kepada pemegang taruh serta pulangan mampan kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petroventure Energy Sdn Bhd Dr Mohd Sham Mohd Yasin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan atas sokongan serta kerjasama berterusan yang diberikan.

Beliau menegaskan komitmen syarikat untuk melaksanakan projek terbabit secara berperingkat, berdaya saing dan mampan, selaras aspirasi jangka panjang pembangunan perindustrian dan tenaga Sabah.

Mengiringi Ewon dalam lawatan itu ialah Setiausaha Tetap kementerian, Datuk Thomas Logijin dan Ketua Pegawai Eksekutif SOGDC Mohamad Azmir Ramli, antara yang lain.