Sokong Hasil Tempatan, Pasar Buah-Buahan Bermusim Bakal Dibuka Di Tabuan Jaya

22 Dec 2024 • 6:36 PM MYT
I Love Borneo
I Love Borneo

Laman infotainment, gaya hidup dan pelancongan di Borneo

image is not available

Idea bernas ini sesuai untuk pencinta buah bermusim Di luar sana!

Sokong Hasil Tempatan, Pasar Buah-Buahan Bermusim Bakal Dibuka di Tabuan Jaya. Dilaporkan, Kuching bakal menerima sebuah pasar buah-buahan bermusim yang akan ditempatkan di kawasan lapang bersebelahan Taman Datuk Bandar Song Swee Guan di Tabuan Jaya! Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, mengumumkan berita ini menerusi sesi siaran langsung di Facebook ‘Shall WEE Talk’ pada hari Sabtu.

Menurut Wee, pasar ini akan mempunyai sekitar 20 gerai tetap yang memberi keutamaan kepada peniaga kecil-kecilan yang menjual buah-buahan tempatan. Inisiatif ini bertujuan mempromosi hasil tempatan serta menyokong ekonomi komuniti setempat.

image is not available
Sokong Hasil Tempatan, Pasar Buah-Buahan Bermusim Bakal Dibuka di Tabuan Jaya

“Objektif utama kita ialah untuk mengangkat buah-buahan tempatan, tetapi kami juga sedang mempertimbangkan beberapa gerai untuk peniaga yang menjual buah-buahan import. MBKS akan pastikan persaingan kekal adil untuk semua,” kata beliau.

Bagi peniaga kecil yang berminat, Dato Wee menjelaskan bahawa permohonan untuk gerai di pasar ini akan dilakukan secara telus dan terbuka. Ini adalah peluang emas untuk peniaga tempatan memasarkan produk mereka dengan lebih tersusun.

image is not available
Sumber gambar: The Borneo Post

Isu Penjaja Haram di TT3

Dalam perkembangan lain, Dato Wee turut mengulas mengenai isu penjaja haram di Pusat Komersial TT3. Menurutnya, walaupun MBKS telah memberi amaran lisan dan notis kompaun kepada penjaja terbabit, mereka masih berdegil untuk beroperasi secara haram.

“Oleh itu, MBKS sedang mempertimbangkan langkah lebih tegas, termasuk merampas produk dan mengambil tindakan undang-undang,” katanya.

Namun, beliau menegaskan bahawa tindakan ini bukan untuk menyusahkan sesiapa tetapi demi memastikan undang-undang kecil dikuatkuasakan dengan adil.

“Kami minta orang ramai bersabar dan memahami bahawa MBKS komited untuk menjaga kesejahteraan bandar ini,” tambahnya.

Dengan kewujudan pasar buah-buahan bermusim ini, masyarakat Kuching diharap dapat terus menyokong ekonomi tempatan sambil menikmati hasil buah-buahan segar. Nantikan pembukaannya, dan mari kita bersama-sama menghidupkan semula semangat komuniti melalui pasar ini!

Lagi cerita menarik untuk anda di sini: