Sokong Usaha Malaysia Jadi Peneraju Pengukuhan Sistem Timbang Tara - Wanita UMNO

Politics
26 Jun 2023 • 8:50 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Dr Noraini Ahmad berkata selagi proses perundangan timbang tara mempunyai kelemahan yang boleh dieksplotasi dan disalahgunakan, bukan sahaja Malaysia, malah banyak negara lain terdedah kepada tindakan tidak berasas seumpama ini - Gambar Fail

KUALA LUMPUR - Pergerakan Wanita UMNO menggesa semua pihak tanpa mengira latar belakang politik menyokong usaha Malaysia menjadi peneraju kepada pengukuhan sistem atau proses timbang tara global yang kini mudah dieksploitasi dan disalahgunakan.

Ketuanya Datuk Dr Noraini Ahmad berkata usaha yang diterajui Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi Datuk Seri Azalina Othman Said melalui Sekretariat Khas Sulu telah menampakkan hasil, dan ia perlu disokong kerana melibatkan kedaulatan negara.

Beliau berkata selagi proses perundangan timbang tara mempunyai kelemahan yang boleh dieksplotasi dan disalahgunakan, bukan sahaja Malaysia, malah banyak negara lain terdedah kepada tindakan tidak berasas seumpama ini.  

"Semua pihak perlu memberi sokongan kepada usaha Datuk Seri Azalina dan pasukannya bagi mendesak proses perundangan timbang tara ini diperkemas, diperbaiki serta tiada lagi kelemahan yang boleh disalahgunakan oleh mana-mana pihak sebagaimana yang dihadapi Malaysia.

"Negara-negara berdaulat tidak sepatutnya terperangkap dengan penyalahgunaan institusi atau proses timbang tara sebagaimana dilakukan oleh lapan individu yang mendakwa sebagai waris Sultan Sulu di beberapa negara Eropah," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sabtu lepas Azalina dilaporkan berkata ketiadaan mekanisme pengawasan dan kegagalan penimbang tara mematuhi standard etika dan profesional yang tegas menyebabkan proses timbang tara disalah guna untuk mengancam negara-negara berdaulat.

Beliau berkata tuntutan kumpulan yang mengaku sebagai waris kesultanan Sulu itu bukanlah pertikaian komersial sebaliknya satu tuntutan timbang tara palsu, dan Malaysia akan terus mempertahankan kedaulatan negara, apatah lagi setiap ringgit dan sen serta sumber yang digunakan bagi tujuan itu datang dari wang rakyat. - Bernama

View Original Article