Jika anda seorang pengguna yang sering membantu kawan, rakan pekerja ataupun keluarga dengan masalah komputer mereka secara jarak jauh, Microsoft baru-baru ini telah mengumumkan bahawa sokongan untuk aplikasi Remote Desktop akan ditamatkan pada 27 Mei 2025.

Ini tidak bermakna bahawa sokongan untuk sambungan ke komputer secara jarak jauh akan berakhir, kerana ia telahpun mula digantikan oleh aplikasi Windows App. Aplikasi ini boleh dimuat-turun di Microsoft Store dan ia bukan sahaja hadir dengan sokongan untuk Remote Desktop Connection, malah boleh mengakses komputer yang menggunakan perkhidmatan desktop awanan Windows 365 dan Azure Virtual Desktop untuk pakar-pakar IT dalam sektor mesin pelayan, membolehkan mereka mengakses desktop mesin pelayan tanpa perlu ke pusat data secara fizikal.

Dalam pada itu, Windows App juga kini menyokong kepelbagaian saiz, jumlah dan resolusi skrin tanpa sebarang masalah, disamping dioptimasikan untuk Microsoft Teams dan log masuk akaun-akaun berbeza pada masa yang sama.



