Sokongan penjawat awam pacu kemajuan, pembangunan Sabah: Hajiji

LocalPolitics
28 Feb 2023 • 9:41 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

KOTA KINABALU: Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor (gambar) berkata pelbagai ujian yang dilalui oleh kerajaan negeri pimpinannya sepanjang dua tahun lepas telah dapat diatasi berkat sokongan kuat serta kerja keras penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Hajiji berkata kejayaan Sabah mengutip hasil negeri sebanyak RM7 bilion tahun lepas, yang melepasi angka disasarkan manakala nilai pelaburan mencecah RM33 bilion juga adalah hasil daripada komitmen dan kerja keras penjawat awam.

“Dalam kita sedang menyusun segala strategi untuk memperkukuh pentadbiran serta memulihkan ekonomi negeri, tiba-tiba datang ujian baharu berupa cubaan untuk mengganggu dan menjatuhkan kerajaan (negeri).

“Namun, saya sangat bernasib baik kerana mempunyai rakan-rakan dalam kepimpinan negeri termasuk jentera kerajaan iaitu anggota perkhidmatan awam yang tetap memberikan sokongan dan dukungan dalam memajukan negeri serta mensejahterakan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Kepada Penjawat Awam Negeri dan Persekutuan Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali.

Hajiji berkata penjawat awam diharap dapat melipatgandakan lagi usaha serta khidmat bakti kepada negeri, rakyat dan masyarakat dalam memastikan negeri ditadbir dan diurus dengan cemerlang, manakala rakyat dibela dengan sebaik-baiknya.

Beliau berkata sebagai jentera pelaksana dasar dan program pembangunan kerajaan, penjawat awam menjadi pemangkin bagi merealisasikan apa jua dasar dan perancangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

“Saya berharap seluruh anggota perkhidmatan awam sentiasa bersikap terbuka dan bersedia untuk menghadapi perubahan dan cabaran sesuai dengan perkembangan dan kehendak semasa. Jangan sekali-kali mudah selesa dengan pencapaian yang ada.

“Jadilah penjawat awam yang berdaya kreatif, bersikap proaktif serta memiliki semangat untuk berlumba dalam mencapai kejayaan secara sihat, berintegriti dan menjauhi rasuah,” katanya. -Bernama