Solarvest dikhuatiri terjejas disebabkan ketidaktentuan harga modul solar - Phillip Capital

Business & FinanceEnvironment
15 Jul 2025 • 11:38 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Solarvest dikhuatiri terjejas disebabkan ketidaktentuan harga modul solar - Phillip Capital

image is not available

15/07/2025 - 11:38

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Prospek pertumbuhan Solarvest Holdings Berhad dikhuatiri boleh terjejas disebabkan oleh isu ketidaktentuan harga modul solar di pasaran semasa, menurut Phillip Capital.

Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan pemaju infrastruktur tenaga boleh diperbaharui (RE) itu masih lagi berdepan dengan cabaran turun dan naik harga untuk peralatan panel yang diperlukan.

Tambahnya, risiko berkenaan akan dihadapi syarikat berkenaan sepanjang masa selain kelewatan dalam pelaksanaan projek dan persaingan pasaran semakin sengit dengan kemunculan banyak pemain baharu.

"Kami turut meramalkan cabaran jangka pendek seperti perubahan dasar kerajaan terhadap isu RE, namun ia lebih bersifat sementara berbanding perubahan harga modul," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.

Bagaimanapun setakat ini katanya, Solarvest dilihat masih cukup stabil apabila sudah memperoleh 30% bahagian pasaran daripada jumlah kuota 2GWac di bawah projek solar berskala besar fasa kelima (LSS5).

Kumpulan itu tambahnya, kini sedang dalam rundingan aktif untuk memuktamadkan kontrak tambahan menjelang suku ketiga 2025, yang berpotensi meningkatkan bahagian pasarannya kepada kepada 50%.

Program LSS5+ yang akan datang kata Phillip Capital, dijangka menawarkan kuota 2GW lagi ke dalam pasaran, dengan penamatan bidaan dijangka menjelang 25 Julai 2025 sebelum bermula pada awal 2026.

"Kami menjangkakan Solarvest dapat mengekalkan 30% bahagian pasaran dalam LSS5+ disokong rekod prestasi pelaksanaan secara kukuh dalam siri LSS dan keupayaan pembidaan yang mantap," katanya.

Ini tambahnya, termasuk projek LSS5 dan usaha niaga di Brunei dengan kumpulan itu kini mempunyai pelbagai aset solar sebanyak 334MWp, disasarkan untuk beroperasi menjelang tahun kewangan 2028.

Phillip Capital namun mengubah unjuran pendapatan FY26 yang lebih rendah sebanyak satu peratus bagi mencerminkan garis masa yang disemak untuk sumbangan hasil daripada portfolio aset solarnya.

Berdasarkan situasi perkembangan semasa itu, firma berkenaan mengekalkan saranan 'beli' tetapi dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM3.05 berbanding RM2.245 sebelumnya. - DagangNews.com

standard