Solarvest lantik Wong Aik Peoy sebagai CEO Kejuruteraan dan Lee Chung Min James sebagai Ketua Peralihan Tenaga

Business & FinanceEnvironment
3 Nov 2026 • 5:40 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Solarvest lantik Wong Aik Peoy sebagai CEO Kejuruteraan dan Lee Chung Min James sebagai Ketua Peralihan Tenaga Image from: Solarvest lantik Wong Aik Peoy sebagai CEO Kejuruteraan dan Lee Chung Min James sebagai Ketua Peralihan Tenaga johardy03/11/2026 - 17:40 Joseph Wong Aik Peoy (kiri) dan James Lee Chung Min Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov - Solarvest Holdings Berhad melantik Joseph Wong Aik Peoy sebagai Ketua Pegawai Eksekutif – Kejuruteraan dan Operasi serta James Lee Chung Min sebagai Ketua Pegawai Peralihan Tenaga ketika kumpulan itu melaksanakan projek yang lebih besar dan kompleks.

 

Kedua-dua pelantikan berkuat kuasa hari ini, menurut pemakluman berasingan kepada Bursa Malaysia.

 

Wong, 44, mempunyai pengalaman hampir dua dekad dalam sektor tenaga boleh baharu (RE), minyak dan gas serta projek infrastruktur utama. Beliau pernah memegang jawatan kepimpinan dalam sebuah kumpulan tenaga bersepadu dengan menerajui projek RE di peringkat global serta di sebuah syarikat kejuruteraan, pemerolehan dan pembinaan antarabangsa.

 

Beliau akan menerajui fungsi kejuruteraan dan operasi Solarvest dengan memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan serta memastikan projek disiapkan mengikut jadual dan bajet berdasarkan prinsip bersepadu masa, kos dan kualiti.

 

Wong turut bertanggungjawab membangunkan rangka kerja operasi berteraskan kecerdasan buatan (AI) yang boleh diperluas. Ini merangkumi penggunaan automasi praktikal bagi meningkatkan kecekapan pelaporan, pemantauan projek dan pengesanan awal risiko, disokong piawaian keselamatan serta kawalan projek yang berdisiplin.

 

Peralihan tenaga dan pasaran serantau

Lee, juga berusia 44 tahun, akan menerajui penggunaan teknologi, libat urus strategik industri dan pembangunan pasaran serantau. Antara keutamaan beliau ialah membangunkan platform tenaga bersepadu yang menggabungkan teknologi baharu dan penyelesaian inovatif.

 

Beliau mempunyai pengalaman selama 16 tahun dalam industri RE Malaysia, termasuk dalam inovasi teknologi, usaha memperjuangkan kepentingan industri dan libat urus dengan pengawal selia.

 

Sumbangan beliau merangkumi pindaan kepada Piawaian Malaysia MS 1837:2018 bagi membolehkan penggunaan teknologi penyongsang termaju serta perundingan industri mengenai program Pemeteran Tenaga Bersih (NEM), Program Solar Accelerated Transition Action (Solar ATAP) dan Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).

 

Lee turut membantu memperluas penggunaan teknologi penyongsang rentetan bagi projek solar berskala utiliti, termasuk sebuah projek pembangunan solar perintis di Sabah. Beliau juga merupakan Timbalan Presiden III Persatuan Industri Fotovoltan dan Tenaga Lestari Malaysia (MPSEA).

 

Berbekalkan keupayaan Solarvest yang telah dibangunkan di Malaysia, Lee akan memberi tumpuan kepada usaha mengukuhkan kedudukan kumpulan itu dalam pasaran antarabangsa yang disasarkan serta mempererat kerjasama dengan kerajaan, pengawal selia dan pihak berkepentingan industri, menurut syarikat itu. — DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved