Semua masjid dan surau Jumaat di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah untuk melaksanakan solat hajat khas pada hari ini, selepas solat Jumaat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata solat hajat itu bagi memohon perlindungan Allah SWT agar negara dan rakyat dijauhkan daripada sebarang musibah termasuk banjir, ribut dan kerosakan harta benda serta segala bentuk ujian yang menimpa masyarakat.
“Semoga ia menjadi medan kita bermunajat memohon agar dipermudah segala urusan pasukan keselamatan, agensi kerajaan serta sukarelawan yang bertungkus lumus membantu mangsa-mangsa terlibat, jua kita berdoa agar masyarakat yang diuji dikurniakan kekuatan, kesabaran dan perlindungan yang berpanjangan.
“Semoga dengan ikhtiar doa dan munajat seluruh umat, Allah SWT mengangkat segala kesulitan, menurunkan rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada negara tercinta, Malaysia,” katanya menerusi hantaran Facebook.
Baca juga:
Terdahulu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, tiga amaran telah dikeluarkan meliputi amaran ribut Tropika, amaran hujan lebat berterusan serta amaran angin kencang dan laut bergelora, yang membabitkan hampir seluruh Semenanjung termasuk Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang yang berterusan sehingga 29 November.
The post Solat hajat khas di semua masjid, surau bawah JAKIM & JAWI selepas solat Jumaat appeared first on The Reporter.


