Solat Hajat Untuk Rakyat Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman Hingga Jumaat – JAWI

1 Oct 2024 • 9:30 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Solat Hajat Untuk Rakyat Gaza, Lubnan, Syria dan Yaman Hingga Jumaat – JAWI

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menyarankan agar masjid dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan mengadakan solat hajat selama empat hari, bermula malam ini bagi mendoakan kesejahteraan rakyat Gaza, Lubnan, Syria, dan Yaman.

Saranan ini dibuat selepas tiga negara Islam tersebut sedang berdepan konflik peperangan, menurut laporan Sinar Harian.

Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail, menjelaskan bahawa program solat hajat ini dimulakan selepas solat Isyak pada malam Selasa dan akan berterusan sehingga Jumaat.

Solat hajat ini bertujuan memohon agar serangan Israel dihentikan, serta untuk menunjukkan keprihatinan terhadap nasib saudara Islam yang terjejas.

“Berdasarkan saranan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berikutan tragedi serangan berterusan yang dilancarkan oleh Israel, JAWI menyarankan agar masjid, surau Jumaat dan surau di seluruh Wilayah Persekutuan melaksanakan solat hajat mendoakan kesejahteraan dan keselamatan buat semua mangsa.

“Kami merakamkan ucapan takziah dan turut bersimpati terhadap mangsa serta seluruh ahli keluarga yang terlibat,” maklumnya lagi.

Dalam pada itu, JAWI mengecam sekeras-kerasnya serangan Israel yang meragut ribuan nyawa yang tidak berdosa.

Oleh itu, beliau berharap dengan inisiatif berterusan ini, serangan dan peperangan yang membawa kehancuran itu segera dihentikan.

Sejak 7 Oktober lalu, Israel giat melancarkan serangan udara kepada Lubnan selepas siri serangan ke atas Gaza.

Sebelumnya, Israel melancarkan serangan pertama ke atas Lubnan di kawasan tidak berpenghuni berhampiran Byblos utara Beirut.

Berdasarkan imej satelit al-Jazeera, Lembah Bekaa yang dianggap kubu kuat Hizbullah merupakan salah satu lokasi paling teruk musnah.

Sumber: Sinar Harian