Solat Jumaat di Musala IOI City Mall dibenar sejak 2024, bersifat sementara: Mais

10 Jul 2026 • 11:08 AM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: Solat Jumaat di Musala IOI City Mall dibenar sejak 2024, bersifat sementara: Mais

SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (Mais) menjelaskan kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musala IOI City Mall, Putrajaya telah diberikan bermula 6 September 2024, selepas diputuskan Jawatankuasa Tadbir Urus Masjid dan Surau Negeri Selangor (JATUMS) serta mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Mais, Datuk Salehuddin Saidin berkata, kelulusan itu diberikan selepas penelitian mendapati premis berkenaan mempunyai ramai pekerja lelaki beragama Islam selain menerima jumlah pengunjung Islam yang tinggi, sekali gus menyebabkan mereka berdepan kesukaran menunaikan solat Jumaat di masjid berhampiran.

“Masjid yang terdekat dengan premis berkenaan ialah Masjid Al-Mustaqim Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda yang terletak pada jarak lebih kurang 7.6 kilometer dan Masjid UNITEN, Kajang yang terletak pada jarak lebih kurang 7.7 kilometer.

“Di samping itu kedua-dua masjid tersebut juga tidak mampu menampung jumlah ahli jemaah yang ramai ketika mendirikan solat Jumaat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mais turut menegaskan sekali lagi bahawa kebenaran mendirikan solat Jumaat di Musala IOI City Mall adalah bersifat sementara, dan akan ditamatkan apabila sebuah masjid baharu berhampiran premis berkenaan siap dibina serta mampu memenuhi keperluan jemaah, termasuk pekerja di kawasan itu.

Beliau berkata MAIS bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan terus memastikan pengurusan dan pelaksanaan solat Jumaat di negeri ini dilaksanakan secara teratur, mematuhi kehendak hukum syarak serta selaras dengan peruntukan undang-undang demi menjaga kemaslahatan umat Islam.

Selasa lepas, Salehuddin dalam kenyataan memaklumkan Sultan Sharafuddin tidak memberikan perkenan untuk mana-mana surau atau musala di pusat beli-belah di negeri itu, diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Salehuddin berkata walaupun pada masa ini terdapat satu surau atau musala di pusat beli-belah di Selangor yang telah diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat, langkah itu bersifat sementara berikutan tiada masjid yang berdekatan dengan premis berkenaan. - 10 Julai, 2026

The post Solat Jumaat di Musala IOI City Mall dibenar sejak 2024, bersifat sementara: Mais appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved