
KUALA LUMPUR — Pensyarah bahasa Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Solehah Yaacob, mempertahankan dakwaan kontroversinya bahawa masyarakat Rom purba mungkin mempelajari teknik pembinaan kapal daripada Alam Melayu, susulan kritikan hebat yang diterimanya selepas video kuliahnya tular.
Dalam satu hantaran di Facebook, Solehah yang turut mengajar pemikiran linguistik, mendedahkan beliau menjadi mangsa serangan media selepas menyampaikan syarahan awam di Masjid Gombak Setia pada 31 Disember 2022.
Syarahan tersebut, yang membincangkan hubungan sejarah antara tamadun Rom dan bangsa Melayu, telah mengundang ejekan daripada pengguna media sosial, tabloid serta akhbar berita arus perdana.
“Akibat daripada syarahan tersebut — di mana saya membincangkan, antara lain, hubungan sejarah antara bangsa Rom dan dunia Melayu — saya telah menjadi bahan ejekan di media sosial, tabloid dan juga media arus perdana.
“Pelbagai platform telah mempermainkan kenyataan saya dengan tajuk seperti “Orang Rom belajar membina kapal daripada orang Melayu” atau ‘Isteri Nabi Muhammad, Khadijah, ialah orang Melayu’.’’ katanya.
Solehah menjelaskan kenyataannya mengenai Rom dan bangsa Melayu adalah hipotesis penyelidikan yang telah dijalankan secara mendalamkan sejak beliau menamatkan pengajian PhD pada 2005.
"Kesimpulannya, hipotesis saya yang berpaksikan sumber Arab klasik mencadangkan bahawa orang Rom telah memperoleh sebahagian seni pembinaan kapal daripada bangsa Alam Melayu.
"Tidak seperti bangsa Eropah yang berbudaya benua, orang Melayu merupakan tamadun maritim yang unggul. Kecekapan mereka dalam ilmu pelayaran dan pembinaan kapal menjadikan mereka antara penguasa lautan terawal dalam sejarah manusia.
"Saya berpendapat orang Melayu adalah antara bangsa pertama dalam sejarah manusia yang membangunkan seni pembinaan kapal dan orang Rom — seperti banyak tamadun lain — mewarisi ilmu pelayaran daripada tamadun maritim yang lebih awal, khususnya dunia Melayu,'' katanya.
Solehah sebelum ini berdepan dengan kritikan hebat susulan kajiannya itu malah UIAM dalam satu kenyataan memaklumkan akan menjalankan siasatan dalaman namun menyifatkan pandangan pensyarah berkenaan sebagai pandangan peribadi dan tidak mencerminkan pendirian rasmi universiti.
Sementara Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir ketika mengulas isu itu, menasihatkan pensyarah universiti agar menghadkan ulasan mereka kepada perkara dalam bidang kepakaran masing-masing.
Dalam pada itu, Solehah turut memetik pelbagai rujukan sejarah, termasuk arkib muzium di Australia yang mengiktiraf kepakaran pembina kapal Austronesia, serta catatan sejarah yang merujuk orang Melayu sebagai “bangsa pertama belayar mengelilingi dunia”.
Beliau berpendapat rekod-rekod ini menyokong pandangan bahawa pelayar Melayu memainkan peranan penting dalam perkembangan teknik pembinaan kapal yang kemudiannya digunakan oleh orang Rom.
Beliau juga mengulas istilah “Melayu”, dengan menegaskan bahawa istilah tersebut wujud lebih awal daripada istilah “Austronesia” yang diperkenalkan oleh ilmuwan Eropah pada abad ke-19.
Solehah turut mengetengahkan Empayar Śrīvijaya (600–1200 Masihi), sebuah kerajaan maritim berpengaruh di Asia Tenggara, sebagai bukti keupayaan maritim masyarakat Melayu sejak dahulu.
Walaupun berdepan kritikan yang semakin hebat, Solehah tetap tegas mempertahankan kebebasan akademik.
Beliau membuat perbandingan dengan nasib ahli falsafah Itali, Giordano Bruno, yang dikenakan tindakan oleh Gereja kerana pandangan tidak konvensionalnya.
Solehah berkata, sebagaimana idea saintifik Bruno dianggap mendahului zaman, hipotesis penyelidikannya juga harus dilindungi daripada kecaman umum.
“Cendekiawan tidak seharusnya dihukum kerana mengemukakan pandangan berbeza. Dalam Islam kita tidak diajar menganiaya atau menghukum ilmuwan kerana pandangan mereka.
“Dengan penjelasan ini, saya berharap agar segala bentuk fitnah, penghinaan, penyelewengan maklumat dan ejekan di media sosial, tabloid serta media rasmi dapat dihentikan segera.
“Hipotesis saya mengenai kejayaan bangsa Melayu dan pengaruh pinjaman bangsa Rom mungkin benar atau mungkin salah. Namun, dalam tradisi akademik dan Islam, kita diajar untuk menghormati perbezaan pandangan,’’ katanya.
Mengenai dakwaan beliau menyatakan Saidatina Khadijah RA berasal dari dunia Melayu, Solehah berkata ia adalah tidak benar dan video yang tular di media sosial telah disunting serta diambil di luar konteks. - 10 November, 2025.
The post Solehah perjelas ‘bangsa Rom belajar bina kapal daripada orang Melayu’ berpaksikan sumber Arab klasik appeared first on Scoop.


