Solidariti Palestin: Hujan, panas tak lunturkan semangat peserta piket

LocalPolitics
30 Dec 2023 • 4:41 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Deretan khemah dapat dilihat hampir dengan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini hari ini, memasuki hari kelima piket solidariti untuk Palestin.

Salah seorang peserta yang mewakili badan bukan kerajaan (NGO) Sejagat, Syed Sheik, 34, berkata, walaupun menghadapi beberapa kesukaran seperti keperluan tandas, cuaca buruk dan sebagainya, namun sokongan masyarakat sekitar menguatkan semangat mereka untuk meneruskan piket.

Beliau berkata, selain kata-kata semangat orang ramai, ada juga individu yang menghantar makan kepada peserta piket berkenaan.

“Kesukaran kami di sini hanya sedikit jika dibandingkan dengan penderitaan saudara kita di Palestin,” katanya kepada Bernama hari ini.

image is not available
Ada peserta yang berkhemah sejak hari pertama biarpun mendapat pelbagai tendangan. - Azim Rahman/Scoop, 30 Disember, 2023

Beliau yang juga Sekretariat Solidariti Palestin berkata, acara kemuncak piket itu malam esok akan menampilkan pelbagai aktiviti antaranya pameran kebudayaan Palestin, jualan buku, ceramah, puisi, persembahan muzik dan seni.

Seorang lagi peserta M. Mythreyar, 45, berkata, ini bukanlah kali pertama beliau menyertai solidariti untuk Palestin.

Katanya walaupun bukan beragama Islam, tetapi atas semangat perikemanusiaan dan tidak sanggup melihat rakyat Palestin terus ditindas, beliau hadir sebagai rakyat Malaysia untuk terus memberi tekanan kepada Israel dan sekutunya.

“(Pada pandangan saya) Apa yang berlaku di Palestin bukanlah peperangan, tetapi ia adalah satu bentuk penghapusan etnik,” katanya yang sanggup datang berkampung di situ dari Tanjung Malim, Perak.

Piket itu adalah inisiatif warga Malaysia yang prihatin dengan krisis di Gaza, selain sebagai tanda kecintaan kepada keamanan, susulan.

image is not available
Himpunan Palestin bantah kekejaman Israel di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat menarik kehadiran pelbagai latar belakang. - Abdul Razak Latif/Scoop, 30 Disember, 2023

Menurut laporan media antarabangsa, sekurang-kurangnya 20,000 penduduk Palestin termasuk kanak-kanak terbunuh sejak tercetusnya konflik Israel-Palestin di Gaza pada 7 Oktober lalu hingga kini.

Piket membabitkan 48 NGO yang merangkumi organisasi masyarakat, pertubuhan pemuda dan pelajar serta kelompok politik daripada pelbagai spektrum, dianjurkan sebagai simbolik pengepungan terhadap Gaza, selain menuntut supaya pembunuhan terhadap rakyat Palestin dihentikan, di samping mendesak supaya gencatan senjata dilaksanakan segera.

Antara NGO yang mengambil bahagian ialah Majlis Perundingan Islam Malaysia, Sejagat, Viva Palestina Malaysia, Yayasan Al Quds Malaysia, Suara Rakyat Malaysia dan Malaysian Women’s Coalition for Al-Quds and Palestine. - 30 Disember, 2023