SHAH ALAM, 23 MAC: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) hari ini menghimpunkan pemimpin dari pelbagai parti politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menyatakan solidariti terhadap Palestin.
Pengarah program berkata himpunan bertujuan mengutuk kekejaman perang genosid Israel ke atas Semenanjung Gaza yang terus mengorbankan nyawa orang awam termasuk lapan petugas kemanusiaan Mapim.

“Terbaharu lapan ahli Mapim gugur syahid akibat diserang. Jadi kita anjurkan perhimpunan parti politik se-Malaysia bersama NGO untuk bangkitkan semula isu kekejaman Israel ini
“Sebab kita nampak isu Palestin ini ada kebersamaan mana-mana parti. Jadi ini sebagai permulaan kita himpukan semua. Kita buka jalan untuk semua pemimpin politik bersatu bersuara isu Gaza,” kata Fakrulrazi Mohd Mokhtar.
Berlangsung di Dewan Jubli Perak bangunan pentadbiran negeri di sini, program dihadiri Presiden Mapim Mohd Azmi Abdul Hamid, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Datuk Nadzim Johan dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Al Quds Malaysia Dr Sharif Abushammala.
Antara kepimpinan politik yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Shah Alam Mohd Azli Yusof, Sekretariat Solidariti Palestin yang juga bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan Presiden Parti Pejuang Tanah Air Datuk Seri Mukhri Mahathir.
Sementara itu, Mohd Azmi mensasar kutipan dana berjumlah RM1.4 juta daripada parti-parti politik negara untuk membantu rakyat Palestin.

“Kita mensasarkan untuk mengumpul RM1.4 juta iaitu RM100,000 bagi setiap parti, saya akan bertemu dengan setiap presiden parti ini secara peribadi untuk menyatakan cadangan dan hasrat Mapim.
“RM100,000 sepatutnya mereka boleh buat (bagi) dan kita kena hantar wang itu pada Ramadan yang berbaki beberapa hari saja lagi,” katanya.
Pada 15 Mac, lapan petugas kemanusiaan Mapim terbunuh dalam serangan udara oleh tentera Israel di Beit Lahiya, utara Gaza.
Serangan berlaku sekitar jam 1.30 petang waktu tempatan ketika mereka sedang mendirikan khemah bagi menempatkan keluarga pelarian akibat konflik berterusan di wilayah tersebut.


The post Solidariti Palestin: Mapim himpun pemimpin politik, NGO kutuk genosid Israel di Gaza appeared first on Selangorkini.


