Sonos Move 2 Dilancarkan – Pembesar Suara Stereo Mudah-Alih Dengan Bateri 24 Jam Untuk RM2799

TechnologyDigital
6 Sep 2023 • 9:00 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Pada 2019, jenama audio terkemuka Sonos melancarkan salah satu pembesar suara paling popular mereka, iaitu Sonos Move yang bukan sahaja merumahkan komponen dan sokongan audio yang padu, tetapi juga boleh dibawa kemana-mana untuk tujuan riadah beramai-ramai.

Hari ini, syarikat audio tersebut telah memperkenalkan Sonos Move 2, iaitu sebuah penaiktarafan kepada pembesar suara tersebut yang hadir dengan ciri-ciri baru.

image is not available

Pertama ialah Move 2 hadir dengan sistem pembesar suara stereo, dan bukan sahaja mono seperti model sebelumnya. Ia kini merupakan sebuah pembesar suara 2.1 dengan dua tweeter dan satu pembesar suara bass terbina, yang menjanjikan kualiti audio yang lebih menyerlah.

image is not available

Sama seperti Sonos Era 100 dan Era 300 yang dilancarkan baru-baru ini, Sonos Move 2 juga hadir dengan sokongan untuk sambungan nirwayar WiFi dan juga Bluetooth yang membolehkan pengguna untuk menyambungkan dua pembesar suara Sonos Move 2 ataupun menyambungkan pembesar suara ini ke pembesar suara Sonos yang lain untuk kualiti audio yang lebih menyerlah.

image is not available

Satu penambahbaikan lagi yang ditawarkan pada Sonos Move 2 ialah jangkahayat bateri yang lebih panjang. Jika model sebelum ini hadir dengan jangkahayat memainkan audio selama 12 jam, ia kini sudah ditingkatkan ke 24 jam dengan Sonos Move 2. Bateri ini boleh dicas menggunakan kabel USB Type-C, dan juga digunakan untuk mengecas peranti-peranti pintar anda.

Malah Sonos mengatakan bahawa bateri Move 2 ini boleh ditukar, tetapi pengguna akan perlu ke kedai seperti TC Acoustics untuk meminta mereka menukarnya untuk anda. Ini adalah kerana pembesar suara ini juga mempunyai piawaian air dan debu IP56 yang memerlukan sedikit kepakaran untuk dibuka dan dipasang kembali.

image is not available

Sonos Move 2 juga dibangunkan menggunakan bahan-bahan kitar semula, dari binaan pembesar suara ini ke kotak bungkusan, termasuklah bahan lestari, plastik kitar semula dan sifar plastik baru. Ia juga kini tampil dalam pilihan warna putih, hitam dan Olive, sebuah pilihan warna baru.

image is not available

TC Acoustics, pembekal produk-produk Sonos di rantau Asia Tenggara, termasuklah Malaysia mengatakan bahawa Sonos Move 2 akan mula dijual di pasaran tempatan pada 6 Oktober 2023 kelak pada harga RM2799. Pra-tempahan untuk pembesar suara ini akan dibuka melalui laman web TC Acoustics hari ini. Mereka yang berminat untuk menguji kemampuan audio Sonos Move 2 juga akan berpeluang untuk melihatnya sendiri di kedai TC Acoustics di pusat membeli-belah Starhill Gallery di Kuala Lumpur bermula 7 September ini.

View Original Article