Sonos telah mengumumkan dua pembesar suara baharu iaitu Sonos Play dan Sonos Era 100 SL sebagai produk terkininya tahun ini selepas sekian lama menyepi.

Sonos Play merupakan pembesar suara mudah alih yang serba guna yang direka untuk kegunaan di dalam mahupun di luar rumah. Dari segi kualiti bunyi, ia menawarkan audio stereo yang lantang dengan bass mendalam hasil gabungan dua tweeter dan sebuah midwoofer, sementara itu baterinya mampu bertahan sehingga 24 jam dengan sekali cas.

Selain itu, Sonos Play hadir dengan penarafan IP67 yang menjadikannya kalis debu dan air. Ia juga menyokong sambungan Wi-Fi dan Bluetooth bagi memudahkan integrasi bersama peranti Sonos lain serta perkhidmatan penstriman seperti Spotify dan Apple Music.
Tubuhnya yang kompak digabungkan dengan pemegang fabrik boleh tanggal membolehkan pengguna membawanya ke mana sahaja dengan mudah. Ia turut boleh dipautkan dengan mana-mana produk Sonos lain yang dimiliki pengguna.

Sonos Era 100 SL hadir dengan tiga Class-D Digital Amplifiers, dua tweeter serta sebuah midwoofer untuk penghasilan audio yang seimbang. Namun begitu, Sonos memilih untuk membuang mikrofon terbina dalam pada model ini kerana mahu menekankan pengalaman mendengar yang lebih tulen tanpa sebarang gangguan.

Selain itu, Era 100 SL mengekalkan ciri penting seperti dipadankan dengan aplikasi Sonos, sokongan TruePlay bagi muzik akustik serta Apple AirPlay 2. Ia turut boleh digunakan sebagai pembesar suara surround Sonos, dipasangkan secara stereo dengan dua unit untuk pemisahan bunyi yang lebih nyata atau digabungkan dengan pembesar suara Sonos lain di rumah.

Bagi yang berminat, Sonos Play yang ditawarkan pada harga RM1,899 dan Sonos Era 100 SL pada harga RM1,199 sudah boleh dipra-tempah bermula hari ini melalui laman rasmi tcacoustic.asia, Sonos Concept Store di The Starhill, Sonos Malaysia Official Store di Lazada, serta pengedar rasmi terpilih. Kedua-dua model ini akan mula tersedia di Malaysia pada 7 April 2026.
